suria

Polis Kuantan Lupus Dadah Bernilai RM500,000

KUANTAN: Polis daerah Kuantan hari ini melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM500,000 membabitkan kes dari tahun 1998 hingga 2005 di Lapang Sasar Bukit Rangin di sini.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusof berkata pelupusan secara pembakaran itu turut membabitkan 550 kertas siasatan yang dilupuskan.

"Antara barang kes yang dilupuskan ialah dadah jenis heroin sebanyak 1397.5 gram, ganja (1879.16 gram), syabu (351.53 gram), pil ecstacy (20.1 gram), pil eramin 5 (516 biji) dan pil WY (435 biji)," katanya kepada pemberita, pada Selasa.

Turut sama membakar barang yang dilupuskan bersama Mohd Jasmani ialah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pahang Supt Yap Toon Khuan dan pegawai kanan polis Kuantan.

Sementara itu, Mohd Jasmani berkata seramai 2,137 penagih dadah ditahan di sekitar daerah Kuantan sejak Januari hingga Oktober tahun ini.

Katanya, jumlah itu menunjukkan peningkatan tangkapan sebanyak 407 orang berbanding tempoh sama pada tahun lepas. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain