suria

Peruntukan 20 Meter Padu Air Percuma Selangor Dikurangkan Dalam Bajet 2011

SHAH ALAM: Peruntukan bagi menampung bayaran 20 meter padu air percuma kepada rakyat negeri Selangor dikurangkan dalam bajet 2011, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Jumlah ini lebih kecil daripada peruntukan yang diberikan sepanjang tahun 2009 dan 2010, iaitu RM100 juta kerana kita menjangkakan rundingan penstrukturan semula industri air di Selangor selesai pada hujung tahun ini, Insya Allah," katanya semasa mengumumkan belanjawan berimbang RM1.43 bilion bagi tahun 2011.

Kerajaan negeri memperuntukkan RM34.5 juta untuk menampung bayaran itu bagi rakyat yang menggunakan meter individu dan RM8 juta lagi bagi subsidi air percuma untuk pengguna meter pukal, katanya.

Abdul Khalid hari ini mengumumkan belanjawan bagi tahun 2011, peningkatan 10 peratus daripada RM1.3 bilion yang diperuntukkan dalam belanjawan tahun ini.

Bajet kali ini adalah berimbang, di mana daripada jumlah itu, RM830 juta diperuntukkan bagi belanja mengurus manakala selebihnya RM600 juta diperuntukkan bagi pembangunan negeri, katanya semasa membentangkan Bajet 2011 untuk kerajaan Selangor pada hari pertama sidang dewan undangan negeri di sini hari ini.

Daripada peruntukan mengurus, sejumlah RM280 juta bakal digunakan untuk pembayaran emolumen, RM333 juta untuk perkhidmatan dan bekalan, RM1.1 juta untuk pembelian aset, RM213 juta untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap dan RM860,000 untuk perbelanjaan lain, katanya.

"Bagi peruntukan pembangunan pula, sejumlah RM107.877 juta atau 18 peratus dijangka digunakan untuk sektor ekonomi, RM87.883 juta atau 15 peratus untuk sektor sosial, RM395,631,960 atau 66 peratus untuk sektor infrastruktur dan RM8.608 juta atau satu peratus untuk sektor perbandaran."

Beliau berkata, pertambahan Bajet 2011 berdasarkan jangkaan peningkatan pendapatan hasil cukai sebanyak 15.42 peratus kepada RM530.98 juta daripada RM460.02 juta pada tahun ini.

Bagi hasil bukan cukai, Abdul Khalid berkata, ia dijangka meningkat sebanyak 10.52 peratus kepada RM467.16 juta daripada RM422.68 juta pada tahun 2010.

Terimaan bukan hasil pula dijangka menokok sebanyak 3.49 peratus kepada RM431.86 juta pada tahun 2011 daripada RM417.3 juta tahun ini.

Katanya, RM7.5 juta diperuntukkan untuk Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS),

RM7.7 juta untuk Hadiah Anak Masuk Universiti, RM21.4 juta untuk Skim Mesra Usia Emas, RM50,000 untuk Pusat Khidmat Sehenti dan Tabung Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang sebanyak RM1 juta.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga memperuntukkan RM1 juta bagi membantu kaum wanita membuat pemeriksaan barah payu dara secara percuma dan Skim Takaful Orang Kurang Upaya (OKU) pula bakal dimasukkan bersama Skim Mesra Usia Emas.

Abdul Khalid berkata bagi menggalakkan pembayaran cukai tanah oleh individu dan syarikat, kerajaan negeri akan meneruskan insentif pengurangan denda lewat cukai tanah sehingga 50 peratus melalui pentadbir tanah.

Bagi memantapkan kutipan hasil bukan cukai seperti premium tanah, kerajaan negeri akan melaksanakan insentif pelanjutan tempoh pajakan hak milik yang bakal tamat tempoh pajakan di mana Pejabat Tanah dan Pejabat Pendaftar Daerah Petaling telah dijadikan perintis program ini sebelum diikuti Pejabat Tanah Daerah lain yang dijangka dilaksanakan dalam tempoh dua tahun sahaja mengikut garis panduan dan syarat yang ditetapkan, katanya.

Abdul Khalid berkata, hasil cukai hiburan negeri Selangor meningkat sebanyak 23 peratus kepada RM26.4 juta bagi sembilan pertama tahun ini daripada RM21.5 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama dalam 2009.

"Kutipan ini dijangka meningkat sehingga RM30 juta untuk tahun ini. Peningkatan ini adalah kerana pemantauan berterusan terhadap pengusaha pusat hiburan," katanya.

Abdul Khalid berkata, pendapatan kerajaan negeri termasuk terimaan yang diperolehi daripada Kerajaan Persekutuan dimasukkan ke dalam Akaun Terimaan Bukan Hasil dan Akaun Amanah.

"Sehingga akhir Oktober 2010, terimaan ini berjumlah RM417.23 juta. Jika dibandingkan dengan terimaan pada tahun 2009, ia menunjukkan peningkatan sebanyak dua peratus," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain