suria

Penghantar Surat Terlepas Tuduhan Merompak

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang penghantar surat atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang penolong pengurus syarikat, dua tahun lepas.

Hakim Zainal Abidin Kamaruddin membuat keputusan itu terhadap Muhammad Ibnu Yahya, 22, selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes di akhir pembelaan.

Dalam penghakimannya Zainal Abidin berkata terdapat percanggahan keterangan saksi pendakwaan dan pembelaan berkenaan pengecaman tertuduh yang didakwa terbabit dalam kes tersebut.

"Setelah merujuk dan membandingkan kesemua keterangan saksi-saksi, mahkamah mendapati terdapat percanggahan dalam keterangan itu.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Ibnu bersama enam lagi yang masih bebas didakwa merompak Tang Chee Keong, 43, dengan merampas dompet yang mengandungi kad pengenalan, pas kerja, kad ATM CIMB dan juga wang tunai RM40 milik mangsa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu hentian bas di hadapan Sekolah Kebangsaan Jaya Seksyen 4, Wangsa Maju, di sini pada 5.25 pagi, 30 Disember 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lokman Kassim manakala tertuduh diwakili peguam K.S Surendran.

Seramai lima saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil untuk memberi keterangan dalam kes itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain