Lima Juta Kenderaan Berusia Lebih 10 Tahun - Abdul Rahim - Semasa | mStar

Lima Juta Kenderaan Berusia Lebih 10 Tahun - Abdul Rahim

KUALA LUMPUR: Sebanyak 5,110,326 daripada 19,820,842 jumlah kenderaan berdaftar di Malaysia sehingga Ogos lepas berusia lebih 10 tahun, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri.

Beliau berkata kementerian sentiasa menekankan aspek keselamatan terhadap semua kenderaan tanpa mengambil kira usia kenderaan berkenaan.

"Selain daripada tindakan penguatkuasaan yang dilakukan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan dan Polis Diraja Malaysia, langkah pengawalan keselamatan melalui pemeriksaan Puspakom diwajibkan bagi memastikan kenderaan itu masih layak digunakan," katanya semasa menjawab soalan Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) pada persidangan Dewan Rakyat, pada Selasa.

Salahudin ingin tahu jumlah kenderaan berdaftar di negara ini melebihi usia 10 tahun dan langkah pengawalan keselamatan yang diambil bagi memastikan kenderaan itu selamat.

Abdul Rahim berkata pemeriksaan yang dilakukan adalah berdasarkan beberapa kategori termasuk kategori kenderaan perdagangan yang memerlukan kewajipan pemeriksaan awalan sebelum pendaftaran dan menjalani pemeriksaan berkala setiap tahun bagi dua tahun pertama dan setiap enam bulan untuk masa seterusnya.

Bagi kenderaan persendirian, setiap urusan pertukaran hak milik perlu menjalani pemeriksaan Puspakom selain perlu menjalani pemeriksaan khas sebelum diubah suai, katanya.

"Selain itu kementerian melalui Jabatan Keselamatan Jalan Raya akan meneruskan kempen keselamatan jalan raya bagi memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan penyelenggaraan kenderaan dalam keadaan 'roadworthy' (masih boleh digunakan di jalan raya) bagi menjamin keselamatan pengguna kenderaan itu dan pengguna lain," katanya.

Penggunaan cermin gelap pada kenderaan di negara ini masih dibenarkan asalkan tidak melebihi had yang ditetapkan, katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan).

Berdasarkan peraturan sekarang, sesebuah kenderaan dibenarkan memasang cermin gelap dengan ketelusan cahaya tidak kurang daripada 70 peratus bagi cermin hadapan dan 50 peratus bagi cermin sisi dan belakang. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

default image

Populasi penduduk kunci utama PSKL2040

DBKL menekankan aspek populasi penduduk sebagai kriteria utama dalam merangka pelan pembangunan di ibu kota.

Artikel Lain