suria

Lebih Banyak Kertas Siasatan Akan Dibuka Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara - SPRM

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih meneliti Laporan Ketua Audit Negara 2009 yang dibentangkan baru-baru ini dan tidak menolak kemungkinan lebih banyak kertas siasatan akan dibuka berdasarkan laporan tersebut.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Mohd Shukri Abdull berkata setakat ini, sekurang-kurangnya 15 kertas siasatan dibuka berhubung isu yang dibangkitkan dalam laporan itu, termasuk perbelanjaan Kementerian Pertahanan untuk barangan mewah bagi bilik VVIP, Mawilla 3 di Pangkalan Tentera Laut Lumut dan Langkawi.

"Apa-apa dalam laporan audit itu yang ada kaitan dengan rasuah, tidak mematuhi spesifikasi dan tuntutan palsu di mana bekalan tidak dibuat, semua kita siasat," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis perasmian Hari Inovasi SPRM 2010 di sini, Selasa.

Majlis itu dirasmikan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abu Kassim Mohamed.

Mohd Shukri berkata sebahagian besar kandungan laporan itu telah disiasat sejak sebulan lepas, berdasarkan maklumat yang diterima daripada orang ramai.

Beliau berkata beberapa pihak yang terlibat juga telah dipanggil untuk membantu siasatan.

Sebelum ini, SPRM mengumumkan telah membuka 13 kertas siasatan, 14 kertas penyiasatan awal serta lima kertas pemeriksaan dan perundingan, berdasarkan laporan audit tersebut.

Tiga daripada kertas siasatan dibuka di Johor, enam di ibu pejabat, dua di Terengganu, serta masing-masing satu di Sarawak dan Selangor.

Sementara itu, dalam ucapannya, Abu Kassim berkata aspek inovasi termasuk daripada segi kaedah sistem dan prosedur yang digunakan oleh agensi itu, adalah penting bagi menyelesaikan kes rasuah.

Beliau berkata tiga prinsip utama iaitu kebebasan, ketelusan dan profesionalisme harus menjadi teras inovasi SPRM bagi merealisasikan visinya sebagai agensi penguatkuasaan yang terunggul di rantau ini.

Pegawai SPRM juga diarah mendokumentasikan kejayaan inovasi yang dicatat organisasi itu kerana ia merupakan bahan rujukan bernilai tinggi berbanding buku sedia ada, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain