suria

"Jawatankuasa Pemilihan Parti Akan Tentukan Kesahihan Penarikan Diri Zaid," - Saifuddin

PETALING JAYA: Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismial berkata, Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) parti itu akan menentukan sama ada pengumuman penarikan diri calon timbalan presiden, Datuk Mohd Zaid Ibrahim dalam pemilihan parti sekarang menerusi blog dan televisyen adalah memadai.

"Datuk Zaid jawab di televisyen tadi bahawa beliau tidak akan tulis surat mengenai penarikan dirinya kerana anggap bahawa laporannya dalam blog adalah memadai.

"Jadi JPP akan membincangkan perkara tersebut sebelum membuat keputusan rasmi mengenainya," kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR di sini, Selasa.

Sidang akhbar itu diadakan khas untuk menjawab siri tuduhan dan dakwaan bahawa berlakunya penyelewengan dalam proses pemilihan pucuk pimpinan parti itu yang sedang berjalan sekarang.

Saifuddin berkata, sekiranya JPP berpendapat kenyataan di blog dan televisyen ada tidak mencukupi, maka nama Zaid akan terus tertera pada kertas undi.

Sehubungan itu, kata beliau, JPP mesti membuat keputusan secepat mungkin sama ada menerima penarikan diri Zaid sebelum proses pengundian bersambung semula pada minggu depan.

Jelasnya, ini mesti disahkan sebelum proses cetakan kertas undi berwarna bermula.

Sementara itu, Saifuddin juga memberitahu, sehingga hari ini, beliau tidak menerima secara hitam-putih penarikan Zaid daripada bertanding jawatan timbalan presiden.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain