suria

"Hanya 6 Aduan Bukan 162..." - Saifuddin

PETALING JAYA: Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail menyangkal dakwaan seorang lagi calon jawatan timbalan presiden parti, Mustaffa Kamil Ayub bahawa terdapat lebih 162 aduan diterima berhubung dengan kecacatan atau dakwaan penipuan pemilihan parti yang sedang berlangsung sekarang.

Sebaliknya, Saifuddin menegaskan, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) hanya menerima enam aduan rasmi di sebalik kehangatan dakwaan berlakunya penyelewengan dalam pemilihan Majlis Pimpinan Pusat itu.

Beliau memperincikan, satu aduan datang dari cabang di Pulau Pinang, Kelantan, Negeri Sembilan dan selebihnya berkaitan dengan proses pemilihan sejak 87 cabang selesai mengadakan pemilihan.

Katanya, dua aduan adalah daripada jentera Datuk Zaid manakala yang lain adalah daripada individu anggota parti.

"Secara rasminya, secara pentadbirannya, sekretariat hanya boleh bertindak sekiranya ada hitam-putih berhubung dakwaan-dakwaan tersebut. Kalau hari ini beliau (Mustaffa) beri 48 jam untuk menyelesaikannya, mana memonya berkaitan semua aduan itu?

"Masalahnya tidak ada siapa pun terima memo tersebut. Itulah masalahnya... (tetapi)JPP sedang meneliti enam aduan yang diterima secara rasmi," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR di sini, Selasa.

Mustaffa mendakwa beliau telah menyerahkan memorandum kepada Presiden PKR dan pengerusi JPP bagi mendesak pemilihan PKR diberhentikan dalam tempoh 48 jam dari sekarang.

Memorandum itu antara lain mempersoalkan perjalanan pemilihan secara langsung atau telus yang julung-julung kalinya diperkenalkan itu kerana dikatakan menyimpang daripada matlamat asal kenapa ia diperkenalkan.

Para perwakilan meluluskan pindaan perlembagaan parti dalam Kongres Khas pada Jun tahun lalu untuk tujuan pemilihan secara langsung oleh setiap ahli parti itu.

Kepada satu soalan lain, Saifuddin memberitahu, selain enam aduan tersebut, tiada aduan langsung daripada calon lain sehingga jam 3.40 petang tadi iaitu ketika sidang media itu diadakan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain