suria

Edar Dadah: Suami Isteri Dan Dua Rakan Ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan sepasang suami isteri dan dua rakan wanita mereka serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM150,000 dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Nirvana, Ampang malam semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Supt Amiruddin Jamaluddin berkata ketika serbuan pada 10.30 malam dilakukan, kesemua suspek sedang asyik membungkus dadah dalam plastik, dipercayai untuk diedarkan di sekitar Ampang.

"Selepas pemeriksaan keseluruhan di rumah dua tingkat itu, kami berjaya merampas dadah disyaki heroin seberat 1,613 gram, syabu seberat 57.4 gram, 100 pil WY (pil kuda) dan 63 pil eramin 5."

"Turut dirampas adalah dua alat penimbang, satu sealer, empat buah telefon bimbit dan wang tunai sebanyak RM2,000. Jumlah keseluruhan dadah dan barang dirampas kira-kira RM150,000," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Beliau berkata polis turut menemui seorang kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan berusia empat hingga 12 tahun, dipercayai anak pasangan terbabit, dan mereka diserahkan kepada anggota keluarga yang lain.

Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek lelaki yang berusia 37 tahun adalah seorang penganggur yang memiliki tiga rekod kesalahan lampau dan dua daripadanya melibatkan jenayah dadah.

Ketiga-tiga suspek wanita pula berusia lingkungan 27 hingga 40 tahun.

Amiruddin berkata polis percaya kegiatan sindiket pengedaran dadah itu telah beroperasi sejak awal tahun ini.

Beliau berkata hasil ujian air kencing mendapati suspek lelaki dan dua suspek wanita positif dadah.

Katanya, mereka kini ditahan reman sehingga 14 Nov ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya iaitu mengedar dadah yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain