suria

DUN Selangor: Teresa Gagal Jawab Sumbangan Kerajaan PKR Negeri

SHAH ALAM: Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Perdagangan dan Industri Selangor Teresa Kok pada Isnin tidak dapat menjawab soalan yang dibangkitkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) mengenai sumbangan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor untuk menaik taraf kawasan perindustrian di negeri itu.

Ketika diajukan soalan itu oleh Ismail Sani (BN-Dusun Tua) mengenai perkara berkanaan, Kok berkata : "Saya tidak ada statistik."

Sebelum itu, beliau berkata Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (MIDA) pada tahun 2009 telah memperuntukkan RM28 juta bagi menaik taraf 24 kawasan perindustrian di Selangor.

Bagaimanapun, Kok berkata kawasan perindustrian di negeri itu terutama di luar bandar berada dalam keadaan "sangat teruk".

Beliau berkata Kerajaan Persekutuan, yang mengutip cukai daripada pelabur, sepatutnya menyalurkan peruntukan yang lebih bagi meningkatkan prasarana perindustrian di Selangor memandangkan negeri itu menyumbangkan lebih 20 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Semasa menjawab soalan Lee Ying Ha (DAP-Teratai), Kok berkata kerajaan negeri telah menubuhkan jawatankuasa pengurusan kawasan perindustrian bagi memudahkan pelabur menyuarakan sebarang masalah mengenai penyelenggaraan kawasan perindustrian di Selangor. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain