suria

Warga Emas Dibantu Mengerjakan Haji

MEKAH: Jemaah haji Malaysia daripada kalangan warga emas khususnya yang lemah mental dan ingatan, fizikal atau kurang sihat masih boleh menyempurnakan ibadah haji pada hari wukuf, 15 Nov bersamaan 9 Zulhijjah.

Pengurus Besar (Bimbingan) Lembaga Tabung Haji (TH), Tengku Aziz Raja Abdullah berkata mereka akan dipandu dan dibimbing oleh kakitangan agensi itu bermula dari hari bergerak ke Arafah pada 14 Nov sehingga selesai ibadah haji.

Katanya sejak perkhidmatan itu dilaksanakan mulai 2002 tiada lagi laporan jemaah haji Malaysia hilang semasa wukuf di padang Arafah, melontar jamrah di Mina dan selepas melakukan tawaf haji serta saie haji di Masjidilharam.

Beliau berkata sebelum itu ramai daripada mereka termasuk yang hilang kawalan diri apabila berada dalam suasana sesak hilang semasa wukuf, di Mina atau di Masjidil Haram.

"Perkhidmatan ini disediakan percuma. TH tidak mengenakan sebarang bayaran tambahan," kata Tengku Aziz kepada pasukan media TH yang membuat liputan Musim Haji 1431 Hijrah di sini, pada Isnin.

Katanya setiap jemaah akan disaring melalui ujian oleh anggota panel diketuai Pengarah Operasi TH Mekah, Zakariah Yett, pegawai perubatan dan guru agama.

Jemaah yang terpilih akan diasingkan daripada jemaah lain dan setiap seorang diiringi seorang kakitangan TH dan mereka dibantu dari mula sehingga selesai melakukan ibadah termasuk diawasi sehingga di bilik air, tambahnya.

Tengku Aziz berkata proses ujian dan saringan jemaah-jemaah yang memohon perkhidmatan itu bermula Ahad dan dijangka selesai Isnin.

Tahun lepas seramai 40 orang mendapat faedah dari perkhidmatan itu.

Sementara itu, seorang jemaah kelainan upaya yang menghadiri ujian tersebut, Amat Kamang, 75, dari Sandakan, Sabah bersyukur dengan perkhidmatan itu untuk menyenangkan mengerjakan haji yang terpendam sejak berbelas tahun tercapai.

"Saya menyimpan wang bantuan bulanan Jabatan Kemajuan Masyarakat lebih 20 tahun dan datang bersama seorang sepupu yang diharapkan membantu tetapi beliau tidak sanggup sebaik tiba di tanah suci," katanya yang kudung kedua-dua tangan manakala kedua-dua kaki cacat sejak jatuh sakit semasa berumur 12 tahun.

Dijangkakan lebih dua juta jemaah haji dari seluruh dunia akan berangkat ke padang Arafah secara serentak mulai Ahad, 14 Nov untuk wukuf pada keesokan harinya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain