suria

Semua Pengeluar Produk Makanan Perlu Dapatkan Pengiktirafan SK1M

PUTRAJAYA: Semua pengeluar produk makanan dalam negara perlu mendapatkan pengiktirafan Skim Keselamatan Makanan 1Malaysia (SK1M)sebelum boleh mendapatkan pensijilan lain seperti Sijil Halal dan 1Malaysia Best.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata SK1M akan menjadi satu prasyarat bagi mendapatkan pensijilan lain melalui perkongsian di antara kementerian dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

"Melalui skim itu, industri makanan akan diberi pengiktirafan mengikut tahap pematuhan kepada Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 secara berperingkat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan SK1M di sini pada Isnin.

Beliau berkata walaupun ia bukan satu perkara yang diwajibkan dan tiada had masa yang ditetapkan untuk mendapatkan SK1M, pengeluar makanan yang didapati gagal mematuhi tahap kebersihan boleh dikenakan tindakan.

"Apa yang cuba kementerian lakukan sekarang ialah mendidik dan memberikan kesedaran untuk semua pengeluar produk makanan khususnya melibatkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (IKS)," katanya.

Liow berkata kementerian memahami kekangan yang dihadapi oleh IKS di negara ini, terutama kelemahan dari aspek kepakaran teknikal.

Oleh itu kementerian akan memberikan khidmat nasihat teknikal bagi membantu IKS melaksanakan sistem jaminan keselamatan makanan, katanya.

Sehingga kini terdapat 33,000 pengeluar produk makanan IKS dan daripada jumlah itu kira-kira 200 yang memperoleh pengiktirafan peraturan-peraturan kebersihan makanan.

Liow berkata bagi tujuan pengeksportan makanan pula selain perlu memperoleh SK1M, kementerian turut menggalakkan industri makanan mendapatkan pengiktirafan Amalan Pengilangan Baik atau Analisis Bahaya dan Kritik Kawalan Kritikal yang mencapai tahap piawaian antarabangasa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain