suria

PRS Telah Senarai Pendek Tiga Calon Untuk Dun Pelagus

KUCHING: Parti Rakyat Sarawak (PRS) telah menyenarai pendek sekurang-kurangnya tiga nama calon untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelagus pada pilihan raya negeri akan datang.

Presidennya Datuk Seri James Jemut Masing yang juga Menteri Pembangunan Tanah Sarawak berkata parti itu telah membuat keputusan untuk memilih calon yang layak bagi mewakili majoriti 80 paratus masyarakat kaum Iban di kawasan itu.

"Kami sudah ada calon untuk kawasan Pelagus dan senarai nama yang telah dipilih (tiga nama) akan kita kemukakan kepada pemimpin tertinggi BN negeri untuk keputusan muktamad," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Dewan Undangan Negeri di sini Isnin.

Beliau berkata PRS akan mempertahankan kerusi Pelagus yang sebelum ini disandang oleh Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Larry Seng, yang kini tidak lagi menjadi anggota parti itu.

"Larry masih muda dan boleh bertanding di kawasan lain. Saya yakin beliau masih ada pilihan sekurang-kurangnya di enam kerusi DUN lain kalau dia mahu kekal menjadi wakil rakyat khasnya di kawasan majoriti Cina," katanya.

Pada pilihan raya negeri 2006, PRS menang lapan kerusi DUN dan hanya kalah di satu kerusi di Ngemah.

Tempoh penggal DUN Sarawak yang mempunyai 71 kerusi akan berakhir pada penghujung Jun tahun depan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain