suria

PKR Nafi Dakwaan Kertas Undi Pemilihan Dijual

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menolak dakwaan kononnya kertas undi bagi pemilihan pucuk pimpinan parti yang sedang berlangsung sekarang ini boleh dibeli bermula pada pengundian minggu lepas dan boleh digunakan semula minggu ini.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution menegaskan, dakwaan bahawa kertas undi 'beli' itu kini tersebar merupakan tuduhan jahat yang tidak benar oleh pihak tertentu.

"Kertas undi yang minggu lepas tidak boleh diguna semula minggu ini ataupun dua minggu lagi kerana ada ciri-ciri keselamatannya," jelasnya pada sidang media tergempar di sini, Ahad.

Hadir sama ialah Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya Dr Syed Husin Ali.

Sidang akhbar berkenaan diadakan ekoran dakwaan seorang penulis blog terkenal, Haris Ibrahim dalam blognya, People’s Parliament kelmarin bahawa kertas undi berkenaan kini boleh dibeli selepas menemui seorang lelaki yang mempunyai bukti salah laku itu dalam kehanngatan pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu.

Dia mendakwa, maklumat yang diperoleh ialah pengawas pemilihan PKR boleh memanipulasi peratusan keluar mengundi dengan menambah kertas undi sebelum sebarang keputusan pemilihan diumumkan.

Dalam pada itu, Saifuddin menjelaskan, terdapat beberapa ciri keselamatan pada kertas undi bagi mengelakkan penipuan.

Katanya, ciri-ciri berkenaan ialah kertas undi yang dikeluarkan mempunyai nombor siri dan warna berbeza mengikut hari, tempat pemilihan dilangsungkan dan jawatan yang dipertandingkan.

Selain itu, tambahnya, semua kertas undi perlu dicop oleh Pegawai Pemilihan di peringkat cabang sebagai yang sah digunakan semasa proses pemilihan dijalankan.

"Ini ciri keselamatan yang kita buat bagi memastikan integriti dan pemilihan parti berjalan dengan baik. Setiap minggu kertas undi itu dicetak berlainan warna. Kod warna berkenaan tidak diketahui oleh mana-mana pegawas pemilihan sehinggalah tiba hari pengundian.

"Sehubungan kononnya kertas undi boleh diguna semula atau kitar semula adalah tidak berasas," jelasnya.

Dalam pada itu, Saifuddin menambah, semasa proses pemilihan, calon boleh melantik ejen untuk memantau keseluruhan pemilihan.

"Pegawai terbabit juga mesti menandatangani setiap set kertas undi bersama wakil calon supaya kertas undi yang dikeluarkan sama bilangannya," tambahnya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain