suria

Penolong Pengarah BTN Wilayah Persekutuan Digantung Tugas - Nazri

KUALA LUMPUR: Penolong Pengarah Biro Tatanegara Wilayah Persekutuan Hamim Husin telah digantung tugas berkuatkuasa 6 Okt lepas selain diberikan amaran kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dalam satu majlis anjuran Puteri Umno pada 27 Sept lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata selain Hamim, dua lagi penjawat awam turut dikenakan tindakan iaitu pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman Putra, Kulai, Johor dan pengetua Sekolah Menengah Bukit Selambau, Sungai Petani, Kedah berkaitan tindakan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.

"Kedua-dua pegawai telah digantung daripada menjalankan tugas, dan masing-masing ditempatkan di Jabatan Pelajaran Johor dan Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Muda Kedah berkuatkuasa 23 Ogos lepas," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Mohamed Nazri bagaimanapun tidak menyatakan tempoh penggantungan daripada menjalankan tugas ketiga-tiga penjawat awam itu semasa menjawab pertanyaan Datuk Wee Jeck Seng (BN-Tanjong Piai) yang ingin tahu jumlah pegawai kerajaan yang diambil tindakan tatatertib kerana menyentuh isu perkauman di Malaysia.

Menyentuh kes pengetua di Johor, katanya prosiding tatatertib telah diambil berdasarkan peraturan-peraturan pegawai awam (kelakuan dan tatatertib) 1993 dengan surat pertuduhan telah dikemukakan kepada pengetua itu untuk membuat representasi membela diri dalam tempoh 21 hari.

"Setelah pegawai mengemukakan representasi bertulis, Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan Kumpulan Pengurusan Satu akan bersidang dan memutuskan hukuman tatatertib terhadap pegawai jika didapati bersalah," katanya.

Mohamed Nazri berkata kerajaan amat komited untuk membendung perbuatan itu dan memberi jaminan akan mengenakan siasatan dan mengambil tindakan kepada pegawai-pegawai terlibat berasaskan peruntukan undang-undang dan peraturan yang berkuatkuasa.

Dalam pada itu, beliau berkata penjawat awam yang terlepas cakap atau celupar tidak boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan atau Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana tidak mempunyai niat untuk menghasut.

"Tapi dalam keadaan yang berlaku hari ini mereka tiada niat untuk menghasut, tapi mereka telah celupar bercakap sesuatu yang tidak sepatutnya mereka kata," katanya.

Menjawab soalan tambahan Wee sama ada kerajaan berhasrat mengenakan tindakan lebih tegas termasuk menggunakan Akta ISA kepada penjawat awam yang melakukan kesalahan sedemikian.

Mohamed Nazri juga berkata kerajaan hanya boleh mengambil tindakan berdasarkan peraturan yang dibenarkan untuk menghukum penjawat awam.

"Ini bukan bermakna bahawa kerajaan tidak mahu ambil tindakan lebih. Cuma peraturan itu tidak membenarkan kita mengambil tindakan lebih daripada apa yang telah kita ambil," kata beliau. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain