suria

PAS Guna Cara Lama Tarik Kembali Sokongan Orang Melayu

IPOH: Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyifatkan parti Pas terpaksa menggunakan cara lama mereka iaitu memainkan agama sebagai isu untuk menarik semula sokongan orang Melayu yang telah kembali meningkat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata cara itu turut digunakan untuk melaga-lagakan hubungan yang baik antara beliau dan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berhubung amalan khurafat yang didakwa dilakukannya ketika upacara meletak ancak di tiang seri rumah semasa program Projek Infra Bina Upaya di Kampung Guar, Manong di Kuala Kangsar pada 17 Oktober lepas.

"Mereka menggunakan agama untuk menyerang saya. Mereka memainkan agama sebagai isu kerana mereka tahu sokongan orang Melayu kembali kuat kepada kerajaan BN...Saya tidak pernah mempertikaikan pandangan Mufti, berbeza dengan mereka yang hanya pandai mengambil kesempatan untuk meraih sokongan politik," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Deepavali di kediamannya di sini Ahad.

Sebaliknya, kata Zambry semasa Anggota Parlimen Bukit Gantang Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin dan Khalil Idham Lim (ADUN Titi Serong) memperingati kematian Setiausaha Politik Exco Kerajaan Selangor, Teoh Beng Hock dengan memegang lilin yang bernyala dan berpakaian serba hitam, tiada pula teguran yang dibuat parti itu.

Pada 22 Okt lepas, Dewan Pemuda Pas mendesak Harussani memberi teguran kepada Zambry yang didakwa telah mengadakan upacara meletak ancak pada tiang seri rumah yang mana amalan itu bertentangan dengan akidah Islam.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain