suria

Kerajaan Sedia Timbang Semua Cadangan Termasuk Idea Pembangkang - Pairin Kitingan

KOTA KINABALU: Kerajaan sentiasa mempertimbangkan sebarang syor atau cadangan termasuk dari aspek politik yang dikemukakan oleh rakyat, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Katanya kebanyakan rakyat khususnya di Sabah, mempunyai tahap kebimbangan tinggi terhadap aspek kesejahteraan mereka dan pelbagai idea telah dicadangkan.

"Sebarang program atau cadangan yang dikemukakan oleh rakyat atau pemimpin pembangkang sudah pasti akan dipertimbangkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Mengenai Hutan dan Perubahan Iklim di sini sini pada Isnin.

Pairin berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Parti Maju Sabah (SAPP) semasa konvensyen Belia, Wanita dan Graduan Kem Belia (GKM) parti itu Sabtu lalu supaya Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi mengenakan semula undang-undang anti-lompat.

SAPP, yang diterajui oleh bekas Ketua Menteri Datuk Yong Teck Lee, merupakan parti pembangkang di Sabah.

"Jika mereka mahu membawa cadangan itu untuk perbahasan atau pertimbangan di Dewan Rakyat, dengan apa cara sekalipun mereka dipersilakan," kata Pairin, yang juga presiden Parti Bersatu Sabah (PBS).

Bagaimanapun, katanya, kerajaan akan memberi tumpuan kepada program pembangunan untuk kesejahteraan rakyat sebelum cadangan lain dipertimbangkan.

"Bagi kepentingan rakyat, ada beberapa perkara yang perlu diutamakan ketika ini dengan tumpuan kepada sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA)," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain