suria

APMM Selamatkan Tujuh Krew Dua Bot Tunda Vietnam

JOHOR BARU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan telah menyelamatkan tujuh krew dua bot tunda yang karam akibat ribut di perairan Pulau Lima, Pengerang, dekat Kota Tinggi, pada Ahad.

Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim Johor Baru Kapt Maritim Mohd Sabri Mohamed berkata operasi menyelamat tujuh krew bot tunda "Phuocan 6" dan "Phuocan 8" itu dijalankan selepas APMM menerima maklumat daripada seorang nelayan tempatan di Sungai Rengit, Kota Tinggi, pada 6.30 petang.

"Bertindak dari maklumat itu, APMM menggerakkan dua kapal dan sebuah bot laju dengan 70 pegawai dan anggota. Lebih kurang 9.30 malam, bot laju APMM berjaya mengambil tiga mangsa yang telah diselamatkan oleh sebuah bot tunda "Homa" di kedudukan 2.5 batu nautika ke tenggara Pulau Mungging, Pengerang," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohd Sabri berkata bot laju berkenaan berjaya mengambil empat lagi mangsa 10 minit kemudian yang diselamatkan oleh kapal "Ocean Explorer" di kedudukan empat batu nautika ke timur Pulau Mungging.

Beliau berkata kedua-dua bot tunda itu dipukul ribut pada 6 petang ketika dalam pelayaran dari Vietnam ke Pelabuhan Pasir Gudang di sini.

Katanya kesemua tujuh krew rakyat Vietnam berumur 17 hingga 56 tahun itu dibawa ke jeti kastam Tanjung Puteri untuk urusan lanjut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain