suria

ADUN PAS Mahu Kerajaan Kelantan Henti Salahkan Kerajaan Pusat

KOTA BARU: Kerajaan negeri pimpinan PAS hari ini diminta menghentikan sikap menyalahkan Kerajaan Pusat berhubung masalah yang tidak dapat diselesaikannya termasuk isu pembinaan dan membaiki jalan, kata Datuk Omar Mohamed (PAS-Perupok).

Beliau berkata, sudah 20 tahun kerajaan PAS memerintah Kelantan dan seharusnya sikap menyalahkan Kerajaan Pusat tidak timbul kerana menjadi tanggungjawab kerajaan negeri mencari ikhtiar untuk mendapatkan peruntukan bagi membaiki atau membina jalan.

Beliau yang telah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selama enam penggal menasihatkan pemimpin PAS agar tidak lagi menggunakan alasan seumpama itu kerana rakyat sudah jemu mendengar alasan begitu yang diulang-ulang selama 20 tahun sejak PAS mengambil alih pentadbiran Kelantan pada 1990.

"Apa-apa yang perlu dibuat jangan asyik bicara menyalahkan Kerajaan Pusat. Tidak boleh baiki jalan sebab bawah Kerajaan Pusat. Itu sudah tidak boleh dipakai.

"Jalan ada yang dinamakan jalan persekutuan, jalan negeri, jalan kampung, jadi ini semua terletak di bawah kerajaan negeri, kalau perlukan peruntukan untuk jalan kenalah ikhtiar untuk berunding dengan Kerajaan Pusat. Apa yang penting pembinaan jalan itu untuk rakyat," katanya ketika membahaskan usul ucapan terima kasih atas titah Sultan Muhammad Kelima pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan penggal ketiga, di sini hari ini.

Omar turut mengingatkan kerajaan negeri supaya mengambil tindakan pro-aktif dalam menyelesaikan masalah rakyat seperti membaiki jambatan yang runtuh kerana ia di bawah bidang kuasa negeri.

Beliau berkata, kerajaan PAS Kelantan perlu melaksanakan keperluan rakyat jika tidak mereka akan menolak PAS seperti keputusan Pilihan raya kecil DUN Galas, Khamis lepas apabila calon Barisan Nasional (BN), Abdul Aziz Yusoff menang majoriti 1,190 undi mengalahkan calon PAS, Dr Zulkefli Mohamad.

Pilihan raya kecil itu diadakan selepas penyandangnya daripada PAS, Chek Hashim Sulaima meninggal dunia akibat barah usus pada 27 September lepas. Pada pilihan raya umum 2008, Chek Hashim menang dengan majoriti 646 undi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain