suria

SAPP Perlu Terima Kekalahan Kerusi Parlimen Batu Sapi Dengan Baik - Musan Aman

KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Musa Aman meminta parti pembangkang khususnya Parti Maju Sabah (SAPP)supaya menerima kekalahan calonnya pada pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi dengan baik.

"Terima kekalahan dengan baik...yang penting pilihan raya umum akan menjelang pada bila-bila masa," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka MIC sempena Deepavali di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Likas, di sini hari ini.

Musa, yang juga Ketua Menteri, berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee semalam bahawa partinya mempertimbangkan untuk memfailkan petisyen berhubung keputusan pilihan raya kecil itu Khamis lalu.

Yong, yang merupakan calon yang tewas pada pilihan raya kecil itu, mendakwa pemilihan itu dicemari dengan perlakuan salah termasuk 'politik wang' yang didakwa dilakukan oleh BN semasa tempoh berkempen dan selepas undian ditutup.

"Mereka berhak membuat apa sahaja yang mereka mahu. Apa yang kami tidak faham ialah mereka melemparkan pelbagai tuduhan terhadap kita seperti taktik kotor dan 'politik wang' selepas tewas.

"Sekiranya mereka menang...mereka akan kata mereka menang secara bersih," kata Musa.

Pada pertandingan tiga penjuru itu, calon BN Datin Linda Tsen dari Parti Bersatu Sabah (PBS) menewaskan Yong dan Ansari Abdullah dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 6,359 undi.

Tsen memperoleh 9,773 undi manakala Yong hanya mendapat 2,031 undi sementara Ansari pula meraih 3,414 undi. - BERNAMA

Artikel Lain