suria

Peralatan Logistik Bomba Mencukupi Untuk Hadapi Bencana Alam

ALOR SETAR: Peralatan logistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk tujuan menyelamat mangsa bencana alam di negara ini mencukupi.

Ketua Pengarahnya Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata setiap negeri mempunyai peralatan logistik seperti bot penyelamat pelbagai guna, jentera bomba dan kenderaan pacuan empat roda mereka sendiri yang dipastikan berada dalam keadaan baik.

"Semua peralatan pasukan JBPM berada dalam keadaan sedia untuk digunakan pada waktu kecemasan seperti kejadian banjir awal bulan ini yang melanda utara Kedah, Perlis dan Kelantan.

"Justeru anggota bomba tidak menghadapi sebarang masalah dalam melaksanakan operasi menyelamat mangsa bencana alam dan ia sekali gus dapat memberi khidmat yang terbaik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat pengurusan Ops Banjir dan melawat bilik operasi gerakan banjir pasukan itu, di sini, Ahad.

Buat masa ini JBPM Kedah mempunyai 11 bot penyelamat, bot amphibious (1), lori (13) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) pelbagai jenis(17) yang digunakan dalam operasi banjir di negeri itu.

Mengenai kejadian banjir di negeri ini, Wan Mohd berkata beliau amat berpuas hati terhadap 600 anggotanya yang bertungkus lumus menyelamatkan mangsa banjir di tiga buah daerah iaitu Kota Setar, Kubang Pasu dan Padang Terap.

"Kita juga tidak menghadapi masalah sekiranya peralatan di satu-satu tempat tidak cukup kerana kita masih ada peralatan simpanan seperti bot penyelamat untuk digunakan anggotanya dalam operasi menyelamatkan mangsa banjir.

"Sekiranya peralatan di Kedah tidak mencukupi, pihak kami akan mendapatkan bantuan daripada negeri-negeri berhampiran seperti Pulau Pinang dan Perak," katanya.

Beliau berkata JBPM juga telah menggunakan pasukan unit udara dalam operasi untuk memindahkan mangsa banjir yang terputus hubungan dan pesakit di hospital terbabit banjir di Kedah dan Perlis untuk dihantar ke hospital lain. - BERNAMA

Artikel Lain