suria

Perak Teliti Tindakan Tarik Balik Tanah Yang Diberi Kepada Syarikat Ternama

TAPAH: Kerajaan Perak sedang meneliti tindakan yang akan diambil terhadap beberapa syarikat ternama, termasuk menarik balik pemberian tanah, kerana gagal mematuhi syarat yang dipersetujui.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kerajaan negeri tidak teragak-agak berbuat demikian, melainkan syarikat terbabit tampil dan memberi penjelasan mengenai masalah yang mereka hadapi.

"Kita tidak mahu ada pihak memohon beribu-ribu hektar tanah daripada kerajaan negeri dengan membentangkan pelbagai cadangan pembangunan namun akhirnya tiada apa dibuat.

"Kita tidak mahu tujuan mereka buat demikian adalah semata-mata untuk menaikkan saham syarikat masing-masing dan bukannya kerana faktor pembangunan setempat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah Bandar Baru Tapah Road, di sini, Ahad.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama-nama syarikat berkenaan.

Sebelum ini, kerajaan negeri Perak mengeluarkan amaran akan menarik balik pemberian tanah kepada mana-mana syarikat yang gagal melaksanakan projek pembangunan selepas dua tahun memperolehi tanah berkenaan.

Mengulas lanjut, Zambry berkata jika keadaan itu dibiarkan, ia akan membantutkan perancangan kerajaan negeri membangunkan sesuatu kawasan, selain mengundang persepsi negatif rakyat yang akan menyalahkan kerajaan berikutan kegagalan projek berkenaan.

Bagaimanapun katanya, tindakan menarik balik tanah itu adalah langkah terakhir kerana kerajaan negeri lebih selesa menyelesaikan masalah menerusi perbincangan.

"Jika kita dapati syarikat tersebut benar-benar serius dengan projek mereka, maka kita timbang untuk beri kelonggaran termasuk melanjutkan tempoh masa untuk bangunkan projek," katanya.

Mengulas perkembangan lain, Zambry berkata kerajaan negeri telah mengenal pasti 14 pekan dan bandar kecil seluruh Perak yang akan dibangunkan semula bersama satu projek industri bagi menjana pertumbuhan ekonomi baru di kawasan tersebut.

Perancangan pembangunan semula kawasan terbabit kini hampir siap dan proses pembinaan yang dijangka mengambil masa dua tahun akan bermula tahun depan, katanya.

Beliau berkata usaha itu akan dilakukan melalui kaedah Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) melibatkan nilai pembangunan berjumlah antara RM4 juta hingga RM20 juta bagi setiap satu kawasan.

"Antara 14 kawasan yang dikenal pasti itu adalah pekan kecil Trong, Tapah Road, Changkat Lada, Batu Kurau, Ijok, Bandariang, Kati, Sauk, Lekir dan Kubu Gajah manakala pembangunan pekan Kampung Tengku Hussein dan Lawin kini di peringkat hampir siap," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain