suria

Parti Kompenan BN Diminta Turun Padang Selesaikan Masalah Rakyat Sebelum PRU

KUALA LUMPUR: Semua pimpinan parti komponen Barisan Nasional (BN) diminta supaya sentiasa turun padang untuk bertemu rakyat agar mereka tahu bahawa BN merupakan satu-satunya parti yang terus berjuang untuk kepentingan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata urusan untuk menggerakkan program parti ke peringkat akar umbi adalah tanggungjawab bersama kerana ia juga merupakan langkah persediaan dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Saya cadangkan semua parti komponen parti turun lihat keadaan yang ada di bawah, cari jalan penyelesaian masalah mereka dan ambil tindakan yang lebih sesuai untuk bantu rakyat.

"Ini supaya mereka tahu bahawa BN adalah satu-satunya parti yang terus memperjuangkan kepentingan mereka dan akan menjamin masa depan mereka yang lebih baik lagi," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan 2010 di Dewan Wawasan, Menara PGRM di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata beliau dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN sendiri akan turun ke setiap negeri untuk memastikan setiap masalah yang dihadapi rakyat dapat diselesaikan sebelum pilihan raya umum akan datang.

"Pimpinan BN komited dengan apa yang nak kita lakukan, tentukan kita bekerja untuk memenuhi tuntutan rakyat, ini teras kepada apa yang kita lakukan, saya berbangga kerana inisiatif sudah bermula, tetapi langkah yang ada di hadapan kita adalah amat jauh sekali.

"Kita tidak boleh persiakan gerakan-gerakan yang dilakukan pihak di sana (pembangkang), masalah-masalah yang timbul hari ini baik ada hubung kait dengan sosial, ekonomi, politik dan pendidikan perkara ini kita akan uruskan, saya beri jaminan bukan saja saya akan dokong tetapi kita akan berusaha bersama-sama," katanya.

Muhyiddin, yang membayangkan bahawa pilihan raya umum akan diadakan dalam "masa terdekat", berkata yang menjadi ukuran terhadap segala usaha dan inisiatif BN adalah rakyat kerana merekalah yang akan menentukan sama ada parti ini akan terus berkuasa pada masa hadapan.

"Yang penting kita tinggal dua tahun lagi, saya sebut ini bukan sebab saya tahu bila pilihan raya, saya tidak tahu, Perdana Menteri yang lebih tahu, tetapi saya tidak kira tahun tetapi bulan, 30 bulan pun bulan juga.

"Jadi kita sebagai orang politik yang kita ambil kira selalunya kita kerja macam mana kuat sekalipun yang jadi ukuran adalah rakyat di bawah, sampai lima tahun dia pangkah ke tidak BN itu yang kita tentukan," katanya.

Muhyiddin berkata apabila pilihan raya umum hampir tiba nanti, Perdana Menteri pasti akan bertanyakan kepada beliau tentang situasi di bawah serta keadaan parti-parti komponen.

"Dia (Perdana Menteri) dapat maklumat tetapi saya kena maklumkan kepada beliau juga di mana kekuatan kita, di mana kelemahan kita, kalau Umno, Gerakan, MIC dan lain-lain ada kelemahan saya bagitahu sebab kita semua dalam satu.

"Bila Gerakan hadapi masalah dan kelemahan, ia ibarat cubit paha kiri paha kanan pun rasa sakit.

"Kalau Gerakan sakit, saya lebih sakit, bila Gerakan pulih, semangat saya pun sudah pulih," katanya.

Beliau berkata walaupun BN memenangi dua pilihan raya kecil baru-baru ini, parti itu tidak harus selesa kerana masih banyak lagi usaha yang perlu digerakkan bagi memastikan semangat dan sokongan rakyat akan terus kekal bersama BN.

"Kita perlu turun ke bawah, pasang telinga, dengar denyut dan degup jantung rakyat, apa yang mereka sebut dan bangkitkan, apa isu yang biasa mereka ketengahkan, masih banyak lagi kerja yang perlu kita laksanakan," katanya.

Justeru itu, katanya, BN dan parti-parti komponennya perlu melaksanakan proses transformasi politik dengan segera bagi mengukuhkan parti seiring dengan program transformasi kerajaan yang sedang berlaku pada masa kini.

"Pimpinan dalam kerajaan sudah bergerak, yang penting kita hendak tengok pimpinan politik dalam BN juga mesti bergerak sama, lebih cepat dan pantas seperti yang telah dilakukan dalam proses transformasi kerajaan," katanya.

Beliau tidak mahu ada pihak yang memandang rendah kepada kerajaan BN yang telah memperkenalkan pelbagai perubahan seperti Model Baru Ekonomi (MBE) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) kerana parti itu sudah bangkit kembali selepas menghadapi cabaran besar daripada pilihan raya umum 2008.

"Jangan merendahkan kita sebab BN kini sudah kembali segar, kalau setahun dulu dia fikir kita sudah goyang, dia fikir kita kalah, kita pun semangat ada turun sedikit tetapi sekarang kita kena beritahu rakyat, BN kembali segar, kita mahu berkhidmat kepada rakyat, jadi kenalkan MBE, ETP, ini semua bukan untuk sesiapa tetapi untuk semua rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata untuk memastikan BN terus mendapat mandat dan sokongan padu rakyat, parti ini perlu bangkit dengan kekuatan baru yang dibina atas kesepakatan anggota parti dan juga keyakinan kepada tiga tonggak utama permuafakatan BN.

Muhyiddin berkata tiga tonggak yang menjadi asas kekuatan parti itu ialah muafakat antara kaum, kestabilan politik dan kemampuan dan prestasi BN dalam melaksanakan tanggungjawab sosial dan ekonomi. - BERNAMA

Artikel Lain