ALOR SETAR: Keadaan banjir di daerah Kota Setar semakin buruk dengan lebih ramai penduduk di daerah itu dipindahkan sehingga petang ini, namun jumlah mangsa banjir di Kedah keseluruhannya berkurangan.Jumlah mangsa banjir di daerah Kubang Pasu tidak berubah manakala di daerah Pokok Sena dan Pendang semakin berkurangan. Sehingga pukul 4 petang ini, seramai 31,712 orang daripada 7,856 keluarga masih berada di 83 pusat pemindahan di empat daerah itu.Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Majlis Keselamatan Negara ketika dihubungi berkata di daerah Kota Setar, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan meningkat kepada 21,116 orang dengan jumlah keluarga 5,060 berbanding 21,058 orang pagi ini.Bilangan mangsa di Kubang Pasu pula masih kekal 9,531 orang daripada 2,591 keluarga manakala jumlah mangsa di daerah Pokok Sena berkurangan kepada 1,003 orang daripada 143 keluarga dan di Pendang seramai 242 orang melibatkan 62 keluarga.Beliau berkata daripada 83 pusat pemindahan yang masih dibuka, 45 ialah di daerah Kota Setar, 34 di Kubang Pasu, tiga di Pokok Sena dan satu di Pendang.Sementera itu, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Darul Aman (Sada) Datuk Adzmi Din berkata sehingga kini 75 peratus loji bekalan air di Bukit Pinang telah beroperasi dan Sada sedang berusaha untuk membolehkan loji itu beroperasi 100 peratus."Kita jangkakan satu atau dua hari lagi loji akan pulih dan bekalan air dapat disalurkan ke semua kawasan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Ahad.Beliau berkata 11 kawasan di daerah Kota Setar dan beberapa kawasan di daerah Pokok Sena belum mendapat bekalan air sepenuhnya manakala di Padang Terap, masalah bekalan air pulih sepenuhnya."Kami akan berusaha untuk pulihkan bekalan air ini secepat mungkin supaya semua penduduk mendapat bekalan air bersih dengan cepat," katanya.Sementara itu, Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Jabatan Pelajaran Kedah berkata kira-kira 30 sekolah di daerah Kota Setar masih ditutup kerana dinaiki air dan ada juga yang dijadikan tempat penempatan banjir.Jurucakap itu berkata lapan sekolah di Kubang Pasu masih ditutup, empat daripadanya dijadikan pusat penempatan banjir dan empat lagi dinaiki air manakala di Padang Terap, semua sekolah telah dibuka seperti biasa.Sehingga petang ini, hanya satu jalan yang masih ditutup kepada semua kenderaan iaitu Jalan Jitra-Sungai Korok manakala lima jalan di daerah Kota Setar dan dua jalan di daerah Kubang Pasu masih digenangi air, tetapi tidak ditutup kepada lalu lintas.Sementara itu, KM28 Lebuhraya Utara Selatan ke utara dan selatan yang ditutup sebelum ini telah dibuka satu lorong ke utara dan satu lorong ke selatan. - BERNAMA