suria

Korea Selatan Dan Timor Leste Sertai EAMFF Buat Pertama Kali

KUALA LUMPUR: Korea Selatan dan Timor Leste merupakan negara terbaru menyertai Forum Peringkat Menteri Asia Timur Mengenai Keluarga Keempat (EAMFF) yang bermula di sini, Isnin.

Forum dwitahunan itu, yang dihoskan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, menyaksikan penyertaan terbesar seramai 14 negara berbanding 12 negara pada edisi lepas di Bali, Indonesia, pada 2008.

"Ini membuktikan kepercayaan negara peserta terhadap kemampuan Malaysia sebagai tuan rumah dalam membincangkan isu-isu kekeluargaan," kata pengurus persidangan bagi forum itu, Fauwaz Hasbullah, Ahad.

Katanya forum tiga hari itu akan membincangkan pelbagai isu, berkongsi pengalaman, kajian dan penyelidikan mengenai masalah sebenar dalam institusi keluarga.

Fauwaz, yang juga Ketua Unit Pembangunan Program, Bahagian Pembangunan Keluarga, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), berkata forum tersebut akan memberi fokus terhadap usaha memperkasakan institusi keluarga.

Isu seperti penyakit HIV/AIDS, kemiskinan, keganasan rumah tangga, perceraian dan ibu tunggal juga akan dibincangkan pada forum bertemakan 'Keluarga Selamat dan Berdaya Tahan: Melindungi dan Memperkasakan Keluarga Yang menghadapi Risiko dan Berisiko Tinggi', katanya.

Di samping Malaysia, negara yang menyertai forum kali ini ialah Kemboja, China, Laos, Indonesia, Australia, Thailand, Singapura, Brunei Darrusalam, Timor Leste, Myanmar, Filipina, Vietnam dan Korea Selatan.

EAMFF pertama kali diadakan di Hanoi, Vietnam, pada 2004, dengan memberi tumpuan terhadap usaha mewujudkan gandingan kerjasama dan permuafakatan dalam kalangan negara Asia Timur.

Manakala EAMFF kedua di Singapura pada 2006, memberikan fokus terhadap usaha membentuk keluarga yang berdaya tahan dan di Bali,pula negara peserta berkongsi maklumat tentang dasar, program dan penyelidikan terhadap aspek-aspek berkaitan daya tahan keluarga dan perlindungan sosial.- BERNAMA

Artikel Lain