suria

Koh Ulangi Tidak Akan Pegang Jawatan Lebih Dua Penggal

KUALA LUMPUR: Tan Sri Dr Koh Tsu Koon hari ini tetap mengulangi pendiriannya untuk tidak memegang jawatan presiden Gerakan lebih daripada dua penggal, malah akan menimbang untuk melepaskan jawatan itu lebih awal sekiranya ada pemimpin yang cukup berkaliber menggantikannya.

"Saya pernah nyatakan pada 2008 bahawa saya akan hanya memegang jawatan ini selama dua penggal. Memang saya tegaskan janji itu. Saya telah tetapkan jadual saya sendiri.

"Ini menunjukkan saya bukan seorang yang mahu bergantung kepada jawatan dalam parti dan kerajaan," kata Koh yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi tertutup pesidangan perwakilan nasional parti itu di sini.

Koh bagaimanapun berdiam diri apabila ditanya sama ada akan wujud pelan peralihan kuasa atau beliau telah mengenal pasti bakal pengganti.

"Saya pasti bila telah tiba masanya, akan ada seseorang yang layak muncul. Saya sedang bertanya-tanya mengenai perkara itu dengan perwakilan.

"Sebab itu jugalah saya melontarkan soalan ini kepada perwakilan, jadi mungkin ada nama yang akan timbul dan kita boleh bincang. Tapi jangan buat spekulasi, okey," katanya.

Koh yang menerima baton kepimpinan daripada Tun Dr Lim Keng Yaik pada 2008, kini dikritik oleh anggota parti yang kebanyakannya menyifatkan beliau sebagai pemimpin yang lemah.

Tamparan paling hebat diterima daripada Lim, yang meletakkan jawatan sebagai penasihat bulan lepas dengan alasan tidak berpuas hati terhadap cara Koh menguruskan hal-ehwal parti.

Ditanya sama ada beliau akan terus meneraju parti jika diminta oleh anggota, Koh berkata beliau tidak menjangka akan menerima permintaan sedemikian selain berpegang kepada prinsip tidak ada pemimpin yang sangat diperlukan.

Pada sidang media selepas beliau merasmikan mesyuarat tahunan Majlis Anggota Seumur Hidup parti sebelum itu, Koh berkata hubungannya dengan Lim mereka adalah baik dan malah duduk semeja untuk menikmati sarapan pagi, Ahad.

Perbezaan pendapat antara mereka adalah perkara biasa, katanya.

Seramai 140 atau 60 peratus daripada 233 anggota seumur hidup Gerakan hadir mesyuarat tersebut yang turut dihadiri oleh Lim. Pada mesyuarat itu juga Lim dilantik sebagai presiden baru Majlis tersebut.

Mengenai keputusan pilihan raya kecil Galas dan Batu Sapi yang memihak kepada Barisan Nasional (BN), beliau berkata parti gabungan itu perlu bersikap merendah diri dan tidak terlalu megah dengan pencapaian itu.

Katanya BN perlu bekerja lebih keras untuk mendapatkan keyakinan rakyat.

Beliau berkata BN perlu mengambil iktibar daripada sikap terlalu yakin oleh calon Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee, yang akhirnya hanya mendapat 2,031 undi, iaitu jumlah undi paling rendah dalam pertandingan tiga penjuru bagi kerusi Parlimen Batu Sapi.

Katanya kemenangan BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Galas dan Parlimen Batu Sapi juga menunjukkan peningkatan sokongan rakyat terhadap parti gabungan itu serta konsep 1Malaysia yang diperjuangkaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. - BERNAMA

Artikel Lain