suria

Taib Mahu Kaum Cina Sarawak Kekalkan Wakil Dalam Kerajaan

MIRI: Masyarakat Cina di Sarawak tidak seharusnya menghalang mana-mana pemimpin mereka yang bagus dan berpotensi untuk terus berada dalam kerajaan, kata Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Beliau berkata masyarakat itu perlu menampilkan calon terbaik yang mereka ada pada pilihan raya negeri akan datang bagi memastikan mereka terus menikmati representasi yang kukuh dalam kerajaan.

"Jika mereka bukan anggota mana-mana parti, selagi mereka menyokong kerajaan, selagi mereka mempunyai sesuatu untuk disumbangkan, ketengahkanlah mereka, namakanlah mereka sebagai calon," katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-10 Persatuan Hunyang Hexiang Zhuang Qigong Miri malam Jumaat.

Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan, Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional dan Bendahari Agung Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Datuk Seri Tiong King Sing antara yang menghadiri majlis itu.

Bekas anggota Parti Rakyat Sarawak (PRS), Larry Sng, yang tidak menganggotai mana-mana parti namun masih merupakan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, turut hadir.

Taib, yang juga Pengerusi Barisan Nasional negeri dan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), berkata kegagalan masyarakat Cina untuk memperoleh representasi yang baik dalam kerajaan boleh membawa kesan buruk.

Beliau berkata mereka tidak harus terbawa bawa dengan tanggapan sebelum ini bahawa mereka boleh bertahan daripada segi ekonomi dengan sendiri.

Dunia sekarang memerlukan saling kebergantungan di mana satu komuniti bekerjasama dengan komuniti yang lain dalam usaha meneruskan pergerakan aktiviti ekonomi demi menghasilkan manfaat bersama, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain