suria

SUPP Akan Terima Larry Sng Jika Akar Umbi Sokong: Dr George Chan

MIRI: Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) akan mempertimbangkan penyertaan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelagus Larry Sng yang kini tidak berparti sebagai anggota, jika beliau diterima akar umbi.

Presiden SUPP Tan Sri Dr George Chan berkata perkara itu tidak boleh diputuskan oleh beliau mahupun pucuk pimpinan, sebaliknya bergantung kepada sokongan anggota keseluruhan.

"Jika saya terima beliau, ia tidak bermakna akar umbi akan terima. Saya mahu orang yang diterima oleh anggota di akar umbi," katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian dermasiswa pendidikan, di sini, Sabtu.

Beliau diminta mengulas mengenai kemungkinan Sng yang dipecat dari Parti Rakyat Sarawak (PRS) pada April 2008, menyertai SUPP. Walaupun tidak menyertai mana-mana parti sejak pemecatannya, Sng kekal sebagai Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri.

Malam tadi dalam satu majlis di sini, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud menghantar mesej yang dilihat ditujukan kepada SUPP selaku parti yang didominasi kaum Cina, agar membawa masuk pemimpin berkaliber untuk dijadikan calon pada pilihan raya negeri akan datang.

"(Walaupun) mereka bukan anggota mana-mana parti, selagi mereka menyokong kerajaan, selagi mereka mampu menyumbang, bawa mereka masuk, jadikan mereka calon," kata Abdul Taib pada majlis itu.

Diminta mengulas kenyataan Ketua Menteri itu, Dr Chan yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata: "Jika mereka bukan anggota parti, kita akan lihat sama ada mereka boleh menerima matlamat parti. Jika mereka memutuskan untuk menyertai kita, itu cukup bagus.

Bagaimanapun katanya, anggota SUPP yang telah lama bersama parti itu dan membuktikan mereka telah bekerja keras akan diutamakan untuk menjadi calon pada pilihan raya negeri tersebut.

"Akan tetapi ada kes-kes tertentu yang mana mereka baru menyertai parti beberapa minggu atau bulan dan mewakili parti pada pilihan raya. Kalau masyarakat di kawasan itu mahukan orang tertentu mewakili mereka, parti akan pertimbangkan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain