suria

Penyelarasan Gerak Kerja Baik Cetus Kemenangan BN Di Galas Dan Batu Sapi

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi dan Dewan Undangan Negeri Galas diperolehi hasi penyelarasan gerak kerja yang lebih baik di kalangan semua parti komponen BN.

Beliau yang juga Naib Presiden Umno berkata gerak kerja yang lebih tersusun itu adalah hasil daripada perubahan berani yang dibuat BN bagi menjadikan ia bersifat inklusif dan dekat di hati rakyat.

"Keyakinan rakyat terhadap kepimpinan BN mula kembali pulih dan kemenangan kedua-dua calon BN ini pada hakikatnya adalah manifestasi kepada harapan rakyat terhadap kepimpinan BN dan corak kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

Beliau berkata BN dapat mencipta kemenangan berikutan kelemahan yang ditunjukkan oleh pihak pembangkang bukan sahaja dari segi pentadbiran di negeri-negeri tetapi juga dalam pentadbiran parti.

Katanya kemenangan BN itu bukan datang bergolek sebaliknya hasl daripada perubahan yang dibuat oleh parti-parti komponen BN selepas mengharungi tsunami poltik pada pilihan raya umum 2008.

Hishammuddin berkata BN bakal melakukan perubahan ketara dalam perlembagaan parti itu pada konvensyen hujung bulan ini bagi membuka platform baru kepada penyokong BN agar mereka berupaya memperolehi keanggotaan secara terus.

"Saya kira, dalam tempoh terdekat kita perlu memperhalusi maklum balas dan sokongan yang diberikan oleh rakyat dan perlu menjalankan tugas dengan lebih menyeluruh, mengambil pendekatan inklusif dan menyelami segala kehendak rakyat.

Hishammuddin turut mengucapkan tahniah kepada kedua-dua Pengarah Jentera pilihan raya BN di Galas, Tengku Razaleigh Hamzah, dan di Batu Sapi, Datuk Seri Musa Aman serta kedua-dua wakil rakyat yang baru, Abdul Aziz Yusof serta Datin Linda Tsen Thau Lin di atas kemenangan mereka dalam pilihan raya itu.

Sementara itu Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Kong Cho Ha berkata kemenangan itu menunjukkan bahawa orang ramai mengiktiraf program-program transformasi negara yang dilaksanakan kerajaan.

Dalam satu kenyataan berasingan Menteri Pengangkutan itu berkata, sokongan daripada kaum Cina yang diperolehi kembali oleh BN menunjukkan bahawa MCA sedang menghala ke arah yang betul.

Katanya ia membuatkan MCA lebih yakin dalam menangani semua isu yang berkaitan dengan komuniti Cina dan terus menyuarakan keperluan serta pandangan mereka mengenai pelbagai isu.

Pilihan raya kecil serentak itu menyaksikan calon BN di Galas, Abdul Aziz Yusoff, memperoleh 5,324 undi untuk mengalahkan calon PAS, Dr. Zulkefli Mohamed mendapat 4,134 undi.

Calon BN di Batu Sapi Datin Linda Tsen Thau Lin pula menang dengan majoriti 6,359 undi setelah meraih 9,124 undi menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat Ansari Abdullah yang memperoleh 2,919 undi sementara Presiden Parti Maju Sabah Datuk Yong Teck Lee mendapat 1,750 undi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain