suria

Pengundi Muda Perlu Diberi Kesedaran Tentang Hak Mereka: Shafie

PUTRAJAYA: Pengundi muda perlu diberi kesedaran tentang kepentingan hak mereka untuk menentukan kuasa yang ada, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata ia adalah langkah yang perlu dipertingkatkan dan diberi galakan, bukan hanya kepada golongan muda tetapi juga kepada semua peringkat masyarakat.

Katanya ini kerana didapati sudah ada trend yang agak ketara bahawa keyakinan di kalangan masyarakat bukan bumiputera yang sudah mula kembali menyokong kerajaan.

"Ini adalah petanda baik tetapi kita tidak harus leka dan selesa. Terus berjuang agar keyakinan itu dapat dikekalkan.

"Saya yakin bahawa kepimpinan kita mempunyai perancangan untuk membawa negara ke satu tahap yang lebih jelas seperti melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP). Kita mahu rakyat sedar bahwa kerajaan sedang membawa pembangunan dan kemajuan kepada masyarakat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Konvokesyen Kolej Poly-Tech Mara Ke-27 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai trend pengundi muda untuk keluar mengundi dikatakan masih rendah pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dan Parlimen Batu Sapi pada Khamis lalu.

BN berjaya merampas kembali DUN Galas daripada Pas apabila calonnya, Abdul Aziz Yusoff menang dengan majoriti 1,190 undi apabila memperoleh 5,324 undi manakala calon Pas, Dr Zulkefli Mohamed mendapat 4,134 undi.

BN turut mengekalkan kerusi Parlimen Batu Sapi dengan majoriti lebih besar iaitu 6,359 undi apabila calonnya, Datin Linda Tsen Thau Lin memperoleh 9,773 undi menewaskan calon Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee (2,031 undi) dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ansaari Abdullah (3,414 undi). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain