suria

Gerakan Kecewa Insiden Demonstrasi Depan DUN Pulau Pinang

GEORGE TOWN: Gerakan Pulau Pinang menyuarakan kekecewaan berhubung insiden demonstrasi yang berlaku ketika Dewan Undangan Negeri (DUN) bersidang pada 2 November lepas.

Setiausaha Biro Publisiti, Informasi dan Komunikasi parti itu, Dr Thor Teong Gee berkata insiden sebegitu tidak seharusnya berlaku, dan masyarakat perlu menghormati persidangan yang berlangsung ketika itu.

"Pendapat dan pandangan perlu disuarakan melalui saluran yang betul dan bukanlah menerusi demonstrasi sebegini, sehingga membantutkan persidangan yang berlangsung," katanya kepada pemberita, Sabtu.

Beliau berkata antara saluran bagi menyuarakan ketidakpuasan terhadap sesebuah pentadbiran adalah menerusi wakil rakyat.

"Demontrasi harus dielakkan dengan menjadikan ahli DUN atau Anggota Parlimen mereka sebagai pengantara bagi membincangkan masalah tersebut," katanya.

Selasa lepas, lebih 100 orang, kebanyakannya penduduk Kampung Genting, Balik Pulau membuat demonstrasi di depan DUN bagi membantah pentadbiran kerajaan DAP Pulau Pinang yang dianggap sebagai 'diktator'. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain