suria

Anggota Bomba Parah Dalam Kemalangan Bas Di Kuala Lipis

KUANTAN: Seorang anggota bomba parah apabila bas ekspress Transnasional yang dinaikinya merempuh sebuah perhentian bas henti-henti sebelum melanggar pembahagi jalan dan terbalik di Km 12, Jalan Lipis-Merapoh, dekat Kuala Lipis, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Abdul Razak Hassan berkata dalam kejadian 11.45 malam itu, Zahari Azmi Zakaria, 22, dari Bachok, Kelantan hancur kaki kiri dan dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan.

Dia adalah antara tujuh orang yang masih dirawat di hospital itu, manakala 26 lagi telah dibenarkan pulang selepas dirawat sebagai pesakit luar, katanya ketika dihubungi, di sini, Sabtu.

Mengulas kemalangan itu, Abdul Razak berkata pemandu bas tersebut yang membawa 31 penumpang dari Kuala Lumpur ke Kota Baharu, dipercayai hilang kawalan ketika tiba di tempat kejadian.

"Bagaimanapun, pemandu itu yang berusia lingkungan 40an dan pemandu kedua bas berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Kedua-dua pemandu tersebut kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain