suria

Pemilihan MTUC Bulan Depan Kritikal, Tentu Hala tuju 11 juta Pekerja

PETALING JAYA: Pemilihan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang dijadual 22 Dis ini dianggap kritikal dalam menentukan hala tuju kira-kira 11 juta pekerja di negara ini bagi menghadapi dunia pekerjaan yang pantas berubah.

Mereka yang terpilih bukan saja memimpin kongres untuk tempoh tiga tahun akan datang tetapi perlu memastikan semua isu yang masih tertunggak diselesaikan bagi meningkatkan perlindungan dan kualiti kehidupan tenaga kerja.

Perwakilan mempunyai pilihan untuk menentukan peneraju kongres yang menyaksikan Presidennya Syed Shahir Syed Mohamud dicabar oleh timbalan, Mohamad Khalid Atan selepas proses pencalonan ditutup pada Isnin lepas.

Selain itu, enam calon akan merebut jawatan setiausaha agung yang tidak dipertahankan G. Rajasegaran selepas 17 tahun memegang jawatan tersebut, manakala 48 calon lagi mencuba nasib untuk 11 jawatan naib presiden yang diagihkan kepada sektor swasta (5 kerusi), dan masing-masing tiga untuk sektor awam dan badan berkanun.

Sumber MTUC memberitahu Bernama antara cabaran utama pemimpin baru kongres ialah berkaitan sasaran kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi dalam tempoh 10 tahun.

Selain itu, barisan pemimpin baru MTUC juga harus memastikan perjuangan kongres selama 20 tahun untuk mewujudkan gaji minimum mencapai satu keputusan, kata sumber itu lagi.

Katanya sejak beberapa tahun lepas MTUC telah 'kehilangan taring' dalam melindungi hak pekerja kerana kepimpinan kongres dilemahkan dari dalam akibat perpecahan.

Justeru katanya, adalah penting barisan kepimpinan baru dapat bekerja bersama dan mengetepikan permainan politik serta agenda peribadi bagi memenuhi matlamat sebagai 'pelindung' sebenar tenaga kerja. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain