suria

Mangsa Banjir Di Padang Tetap Semakin Berkurangan

ALOR SETAR: Jumlah penduduk yang dipindahkan kerana banjir di Kedah berkurangan kepada 32,990 berbanding 33,413 petang tadi berikutan semakin ramai mangsa banjir di Padang Terap yang dibenarkan pulang manakala empat lagi daerah tiada perubahan.

Mangsa banjir di Daerah Padang Terap berkurangan daripada 2,737 orang petang tadi kepada 2,279 malam ini melibatkan 543 keluarga manakala mangsa banjir di Daerah Kubang Pasu, Kota Setar dan Pokok Sena masih sama seperti petang tadi dan di Pendang bertambah.

Di Kubang Pasu, seramai 15,672 penduduk daripada 4,347 keluarga dipindahkan, manakala Kota Setar melibatkan 12,960 penduduk (3,342 keluarga), Pokok Sena (1,868 orang daripada 327 keluarga) dan daerah Pendang merekodkan 211 penduduk daripada 59 keluarga dipindahkan.

Jurucakap bilik gerakan Majlis Keselamatan Negara berkata sehingga 10.30 malam ini, 88 pusat penempatan mangsa banjir dibuka dan daripada jumlah itu, 45 adalah di Kubang Pasu, 20 di Padang Terap, 15 di Kota Setar, tujuh di Pokok Sena dan satu di Pendang.

Katanya keadaan di Padang Terap bertambah baik dengan 458 orang daripada 153 keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat manakala 15 pusat pemindahan ditutup.

Tinjauan Bernama di kawasan sekitar bandaraya Alor Setar mendapati semakin banyak jalan raya dan premis kerajaan digenangi air dan semakin banyak kediaman berdepan dengan gangguan bekalan air termasuk terputus bekalan.

Antara yang turut dinaiki air adalah kediaman rasmi Menteri Besar Kedah, Sri Mentaloon dan kediaman peribadi Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak di Jalan Sultanah di sini.

Jalan Sultanah ditutup sepenuhnya kepada lalu lintas.

Kawasan perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah juga mula digenangi air.

Bagaimanapun, keadaan beberapa jalan penting di bandaraya Alor Setar yang masih dibuka sesak malam ini berikutan orang ramai yang keluar rumah kerana cuti esok. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain