suria

Kemenangan Isyarat Rakyat Mahukan BN - Rais

KUALA LUMPUR: Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas hari ini jelas menunjukkan pendirian dan pilihan rakyat terhadap parti itu.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata rakyat di kedua-dua kawasan tersebut juga telah menaruh keyakinan terhadap peneraju kerajaan iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Demokrasi telah berkata putus, saya percaya dasar Perdana Menteri mentransformasikan kerajaan dan ekonomi rakyat turut melampini kejayaan BN ini," katanya dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama di sini.

Rais berkata kesungguhan Pengarah Pilihanraya kecil DUN Galas Tengku Razaleigh Hamzah dan Parlimen Batu Sapi Datuk Seri Musa Aman terserlah di kedua-dua kawasan sehingga BN meraih kejayaan besar. Calon BN di Batu Sapi Datin Linda Tsen Thau Lin menang dengan majoriti 6,359 undi setelah meraih 9,124 undi mengalahkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ansari Abdullah yang memperoleh 2,919 undi sementara Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee mendapat 1,750 undi.

Di Galas, calon BN Abdul Aziz Yusoff menang dengan majoriti 1,190 undi setelah mendapat 5,324 undi manakala calon PAS Dr Zulkefli Mohamad memperoleh 4,134 undi. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain