suria

Ibu Mohon Bantuan Cari Anak Perempuan

Shahara Fujie Mohd Nasir. - Foto BERNAMA
Shahara Fujie Mohd Nasir. - Foto BERNAMA
Shahara Fujie Mohd Nasir. - Foto BERNAMA

MELAKA: Seorang ibu memohon bantuan daripada pelbagai pihak untuk mencari anak perempuannya Shahara Fujie Mohd Nasir, 16, yang dipercayai dilarikan seorang pemuda yang berasal dari Indonesia.

Sharifah Mohamed, 36, berkata beliau mendapati anaknya hilang setelah keluar dari rumahnya di Kampung Tehel, Bemban, Jasin, pada pukul 5 petang 25 Oktober lepas dengan menaiki sebuah motosikal.

"Saya diberitahu kawan anak saya yang dia (Shahara Fujie) ada berkawan dengan seorang lelaki Indonesia, tetapi hati saya masih kata anak saya masih berada di negara ini, tetapi saya takut anak saya dibawa lari lelaki itu ke Indonesia," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Sharifah membuat laporan polis mengenai kehilangan anaknya itu pada pukul 10.50 pagi 26 Oktober lepas di Balai Polis Jasin.

Beliau berkata setelah mendapati anaknya tidak pulang ke rumah pada pukul 6.30 petang 25 Oktober itu, beliau terus pergi ke rumah seorang kawan anaknya untuk mencarinya dan dalam perjalanan beliau menjumpai motosikal yang digunakan anaknya itu diletakkan di tepi jalan.

Katanya anak sulung daripada empat adik beradik itu kali terakhir dilihat berpakaian baju T berwarna hijau dan seluar sukan berwarna hitam, mempunyai ketinggian 155cm, berat 54kg dan rambut ikal paras bahu.

Sementara itu, Ketua Penyelia Pembela Barisan Nasional Melaka, Amir Hamzah berkata pihaknya telah melakukan pelbagai cara untuk membantu Sharifah dan setakat semalam, tiada rekod menunjukkan Shahara Fujie keluar dari negara ini secara sah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin di talian 06-5292222 atau Balai Polis Jasin 06-5291224. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain