suria

Serpihan Pesawat Qantas Gugur Dari Langit

JAKARTA: Beberapa penduduk di Kepulauan Batam pagi ini terkejut apabila kepingan-kepingan logam gugur dari langit ke kawasan penempatan mereka setelah sebuah pesawat yang sedang berasap di sayapnya melintasi kawasan itu.

Kepingan logam itu kemudian dikenal pasti sebagai serpihan daripada pesawat penumpang syarikat penerbangan Qantas dari Australia yang sedang berpatah balik untuk pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura.

Serpihan pesawat itu antara lain jatuh menimpa kawasan perumahan di Central Park, Kawasan Industri Batam Centre, bangunan Sekolah Rendah Negeri dan di Kompleks Perumahan Eden.

Tiada sebarang kecederaan dalam kalangan penduduk dilaporkan.

Seorang saksi, Rusdi yang diwawancara langsung oleh sebuah stesen TV swasta, berkata beliau dikejutkan dengan dentuman kuat di udara semasa sedang berada di rumahnya di Central Park dekat kawasan Industri Batam Centre pada 9.15 pagi, dan terus keluar memeriksa keadaan bersama jiran-jiran.

"Kami melihat ke atas, ada sebuah pesawat penumpang, di salah satu sayapnya itu keluar asap dan tak lama kemudian serpihan-serpihan itu jatuh. Di rumah saya ada dua serpihan, salah satunya berukuran 25 x 30 sm.

"Di perumahan Anggrek Sari yang berada di sebelah kawasan perumahan saya bahkan ada yang sepanjang satu meter, kalau tidak salah melihat, warnanya putih," katanya.

Rusdi berkata pesawat itu kelihatan terbang lebih rendah dari biasa sehingga dapat diketahui bahawa ia pesawat komersil berwarna putih yang berukuran besar dan bukan pesawat tentera.

Walaupun serpihan-serpihan itu jatuh, pesawat itu masih terus terbang hingga hilang dari pandangan mereka, katanya.

Petugas bahagian perhubungan awam lapangan terbang Hang Nadim Batam, Hendrawan berkata pihaknya telah mengumpulkan serpihan-serpihan pesawat itu dari beberapa lokasi di kawasan Industri Batam Centre, yang terletak 10 km dari lapangan terbang itu.

Ketua Pusat Penerangan dan Komunikasi Kementerian Perhubungan, Bambang S Ervan pula berkata Indonesia tidak akan turut serta dalam penyiasatan kerosakan pesawat itu kerana ia bukan tanggungjawabnya.

"Tetapi Indonesia akan membantu mengumpulkan serpihan-serpihan pesawat yang jatuh untuk siasatan oleh Singapura dan Australia, kerana serpihan itu jatuh di wilayah Indonesia," katanya.

Bambang berkata pesawat itu telah berlegar-legar di ruang udara Batam selama sejam setengah sebelum peristiwa itu berlaku itu dan petugas lapangan terbang Hang Nadim turut membantu menyelaras perhubungan dengan pihak-pihak berkaitan di Australia dan Singapura.

Pesawat itu dipercayai berputar-putar di atas Batam untuk menghabiskan bahan bakar sebelum akhirnya mendarat kembali di Changi pada 11.46 waktu tempatan.

"Lapangan terbang Hang Nadim juga sudah membuat persediaan untuk pendaratan cemas jika diperlukan," kata Bambang.

Beliau berkata sehingga kini belum diketahui punca kerosakan pesawat itu namun maklumat sementara ialah letupan berlaku di enjin nombor dua sebelah kiri badan pesawat sehingga serpihannya berguguran di Batam. -BERNAMA

Artikel Sebelum

YB Baru Mahu Kotakan Janji

Artikel Berikut

Artikel Lain