suria

Prosiding Inkues Teoh Beng Hock Ditutup

SHAH ALAM: Prosiding inkues pembantu politik, Teoh Beng Hock akhirnya tiba di penghujung selepas Mahkamah Koroner di sini pada Khamis, menutup prosiding tersebut.

Koroner Azmil Muntapha Abas menutup prosiding yang telah berjalan selama setahun empat bulan itu selepas mendapati tiada keperluan untuk memanggil saksi inkues lain bagi memberi keterangan.

Justeru itu. beliau menetapkan 10 Disember depan untuk pihak-pihak yang telibat dalam prosiding inkues itu memfailkan hujahan manakala 17 Disember pula ditetapkan untuk mendapatkan penjelasan lisan, sekiranya ada.

Prosiding inkues yang bermula pada 29 Julai 2009 diadakan bagi mencari sebab kematian Teoh, 30, ekoran kematiannya menimbulkan tanda tanya kerana beberapa jam sebelum itu dia dipanggil ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disoal berhubung dakwaan penyalahgunaan wang peruntukkan Kerajaan Negeri.

Pejabat SPRM terletak di tingkat 14 Plaza Masalam, Seksyen 9, di sini, manakala mayat Teoh ditemui di tingkat lima plaza yang sama.

Prosiding hari ini, menyaksikan pegawai penyiasat Asisten Superintendan Ahmad Nazri Zainal menyambung keterangan sebagai saksi inkues ke-35. Bagaimanapun, jumlah keseluruhan saksi ialah 37 orang.

Ahmad Nazri, 38, berkata, beliau tidak membuat sebarang cadangan tangkapan kerana tiada bukti bagi menuduh sesiapa terlibat dalam kematian Teoh, yang ditemui mati pada 16 Julai 2009.

Beliau menambah, beliau tidak terhalang atau dihalang daripada membuat sebarang tangkapan meskipun mempunyai pegawai-pegawai atasan.

Semasa disoal oleh Ketua Unit Pendakwaan SPRM, Datuk Abdul Razak Musa, Ahmad Nazri mengakui beliau tidak mempunyai suspek sepanjang siasatan dijalankan.

“Saya juga tidak menjumpai keterangan yang mengatakan ada individu yang menggunakan kekerasan atau ugutan kecuali apa yang dikatakan oleh pakar dan kesan merah di leher,” tambahnya.

Selain itu, Ahmad Nazri juga memberitahu, tidak menjumpai sebarang senjata yang boleh dikatakan telah digunakan bagi menyebabkan kematian pembantu politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.

“Siasatan di tingkat 14 juga tidak menjumpai apa-apa kesan pergelutan atau kesan seretan di lantai,” katanya lagi.

Keterangan lain, Ahmad Nazri memberitahu beliau tidak melihat kesan pukulan di bahagian kepala selain darah yang terdapat pada bahagian kanan kolar kemeja yang dipakai oleh Teoh.

Beliau menambah, beliau bersama Dr Peter Venesiz, pakar dari United Kingdom yang dilantik oleh SPRM bagi menyelia bedah siasat kali kedua dan seorang profesor tempatan telah membuat lakon semula peristiwa jatuh itu.

“Lakon semula dibuat menggunakan botol air mineral dan anak patung dan dilakukan beberapa kali. Mengikut teori, jika orang yang tidak bergerak jatuh, kedudukannya akan selaras dengan tingkap kerana tiada daya.

“Ini berbeza dengan orang yang terjun kerana kedudukannya akan agak jauh daripada tingkap, seperti dalam kes ini,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Nazri menjelaskan bahawa beliau tidak memaklumkan lakon semula itu kepada mahkamah di peringkat awal kerana ia tidak dapat disamakan dengan berat badan Teoh yang sebenar.

"Botol air mineral dan anak patung merupakan objek yang ringan. Kita cuba dapatkan patung dummy tetapi tidak dapat kerana ia terlalu mahal,” tambahnya.

Menjawab soalan peguam yang mewakili keluarga Teoh, Gobind Singh Deo, Ahmad Nazri berkata, pada awalnya kes kematian Teoh disiasat dan diklasifikasikan sebagai kematian secara mengejut (SDR).

"Saya buka siasatan sebagai SDR, tetapi tumpuan saya tidak hanya pada bunuh diri. Siasatan saya sama seperti siasatan kes bunuh tapi pihak atasan arahkan SDR. Siasatan saya merangkumi bunuh,” katanya.

Ahmad Nazri turut mengakui bahawa beliau tidak dapat memastikan identiti Au Yong yang dinamakan sebagai penerima dalam nota yang didakwa ditinggalkan oleh Teoh sebelum mati.

Prosiding hari ini juga menyaksikan seorang ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR), Daniel Chong dihalau keluar daripada mahkamah kerana menganggu prosiding dengan mengeluarkan perkataan bodoh semasa prosiding berlangsung.

Permohonan untuk mengeluarkan Daniel dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Abazafree Mohd Abbas.

"Seorang lelaki berbaju hitam (yang bertulis rakyat menyokong Teoh Beng Hock) telah beberapa kali menyebut perkataan bodoh. Itu menganggu prosiding. Saya mohon perintah daripada mahkamah untuk mengarahkan dia keluar,” katanya.

Azmil Muntapha berkata, lelaki tersebut tidak perlu berada di mahkamah dan seorang anggota polis mahkamah kemudiannya mengiringi lelaki itu keluar selepas mengucapkan ‘terima kasih’ secara sinis.

Artikel Sebelum

YB Baru Mahu Kotakan Janji

Artikel Berikut

Artikel Lain