suria

Pelajar Lemas Ketika Mandi Di Sungai Buaya

MARANG: Mayat pelajar tahun enam Sekolah Kebangsaan Bukit Payong, ditemui di Sungai Buaya di sini kira-kira pukul 10 malam tadi, sekitar empat jam selepas dia dilaporkan hilang semasa mandi di sungai itu.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri Datuk Mazlan Ngah berkata kejadian berlaku pada pukul 6.20 petang apabila Muhammad Muzzammil Muhammad Hafzi, 12, bersama seorang rakan, mandi di sungai berkenaan selepas bermain bola sepak.

Beliau berkata sebaik tiba di sungai, Muhammad Muzzammil yang tinggal di kawasan perumahan kos rendah Bukit Payong, tidak jauh dari sungai itu terus terjun ke dalam sungai sementara rakannya berdiri di tebing.

"Tidak lama kemudian dia dihanyutkan arus dan rakannya cuba membantu, tetapi gagal menyelamatkannya," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Mazlan yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu berkata polis, anggota bomba dan penyelamat dan anggota dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) kemudiannya melancarkan gerakan mencari.

Beliau berkata mayat Muhammad Muzzammil ditemui di dasar sungai, kira-kira 50 meter dari tempat beliau dikatakan tenggelam, dan mayat itu sudah dihantar ke Hospital Sultanah Nor Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat.

Mazlan seterusnya menasihatkan ibu bapa atau penjaga supaya mengawal pergerakan anak-anak, dan menegah mereka daripada bermain di sungai bagi mengelak kejadian seumpama itu berulang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

YB Baru Mahu Kotakan Janji

Artikel Berikut

Artikel Lain