suria

N45 Galas: SPR Anggap Kertas Undi Silap Cetak Mengarut

GUA MUSANG: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyifatkan dakwaan bahawa terdapat kertas undi pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas tidak tercetak lambang parti politik yang bertanding adalah karut dan tidak benar.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, dakwaan berkenaan sengaja dibuat bagi menimbulkan keraguan dan mengganggu proses pilihan raya.

"Ini cerita karut, saya pun hairan bagaimana mereka boleh mengada-adakan cerita begini.

"Kalau benar wujudnya perkara berkenaan, SPR adalah pihak pertama yang mengetahui mengenainya. Tapi saya dimaklumkan oleh ketua pusat mengundi di peti-peti undi tersebut, tidak berlaku perkara sedemikian," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tiga laporan polis yang dibuat oleh penyokong PAS yang mendakwa kertas undi mereka tidak tercetak lambang parti politik sebaliknya hanya tertera nama calon Barisan Nasional (BN), Ab Aziz Yusoff dan calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed.

Tiga yang berkenaan ialah Zainab Jalar yang juga isteri kepada calon PAS yang mengundi di pusat mengundi Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRKJC) Gua Musang.

Turut mengalami situasi yang sama ialah dua lagi pengundi iaitu Asmah Salleh dan Zaleha Salleh yang masing-masing mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Lepan Jaya dan SK Tengku Muhammad Fakhry Petra.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata, beliau yakin perkara berkenaan tidak berlaku kerana proses pengeluaran kertas undi berkenaan dilakukan dengan teliti dan diperiksa oleh pegawai SPR.

"Semua kertas-kertas undi dicetak oleh Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) dan setiap satu daripadanya akan diperiksa dengan teliti oleh pegawai-pegawai SPR.

"Saya pun tak faham bagaimana cerita-cerita karut ini boleh timbul," katanya.

Artikel Sebelum

YB Baru Mahu Kotakan Janji

Artikel Berikut

Artikel Lain