suria

N45 Galas: Penyokong Luar Cetuskan Pergaduhan, Kata SPR

GUA MUSANG: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kecewa dengan sikap penyokong parti politik yang mencetuskan provokasi hingga menyebabkan berlakunya insiden pergaduhan di beberapa pusat mengundi bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang berlangsung pada Khamis.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, berdasarkan laporan awal, insiden berkenaan dicetuskan oleh penyokong parti dari luar yang masih bertindak sebagai perayu undi di luar kawasan pusat pengundian.

"Sejak awal lagi kita sudah jangkakan situasi tegang akan berlaku antara penyokong kedua-dua parti, sebab itu pihak polis sudah menyediakan anggota yang cukup sebagai persediaan di beberapa peti undi.

"Bagaimanapun SPR mendapat maklumat kekecohan berkenaan bukanlah dicetuskan oleh penduduk tempatan sebaliknya melibatkan penyokong dari luar...mereka ini tidak faham dengan budaya tempatan," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai insiden pergaduhan hingga berlakunya kejadian tumbuk-menumbuk dipercayai berpunca daripada provokasi penyokong PAS yang memasuki kawasan khemah Barisan Nasional (BN) untuk meraih undi di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Sri Wangi.

Kekecohan turut berlaku di beberapa pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indra Petra 1 dan Sekolah Kebangsaan Gua Musang.

Selain itu Wan Ahmad berkata insiden berkenaan juga telah mencalarkan imej kempen yang bersih sepanjang sembilan hari sejak penamaan calon pada 26 Oktober lalu sehingga lewat malam Rabu.

"Nampaknya suasana sejuk sepajang kempen tercalar dengan sikap penyokong-penyokong pada hari ini. Mereka tak ada perasaan malu kepada penduduk tempatan.

"Inilah akibatnya apabila penyokong-penyokong memenuhi pusat-pusat mengundi, apabila mereka berada bertentangan...semua nak tunjukkan kekuatan masing-masing," katanya.

Artikel Sebelum

YB Baru Mahu Kotakan Janji

Artikel Berikut

Artikel Lain