suria

Muhyiddin Ingatkan Pengundi Batu Sapi Buat Pilihan Bijak

SANDAKAN: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan pengundi di kawasan Parlimen Batu Sapi yang akan keluar mengundi esok supaya membuat pilihan bijaksana.

Beliau berkata pengundi perlu membuat pertimbangan bijak dengan hanya memilih pemimpin yang mampu menjuarai usaha membangun serta menyediakan segala kemudahan demi kesejahteraan dan keselesaan rakyat sendiri.

"Kita mahu supaya rakyat memberi pertimbangan bijaksana. Kalau hari ini mereka (rakyat) sudah merasa hidup sempurna dan baik, tentu mereka tidak akan berkata cukup setakat itu sahaja.

"Kita mahu lebih baik lagi untuk masa-masa hadapan," katanya ketika berucap selepas bersembahyang maghrib dan melakukan solat hajat secara berjemaah bersama ratusan umat Islam di Masjid Al-Falah, Kampung Karamunting di sini malam ini.

Muhyiddin berkata kerajaan ingin melihat rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini terus hidup dalam suasana harmoni serta maju selain menikmati kehidupan lebih sempurna, dan usaha ke arah itu sedang rancak dilakukan oleh kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melalui gagasan 1Malaysia.

Beliau berkata kemajuan yang dicapai Malaysia turut diiktiraf ramai pemimpin dunia, terbaru Setiausaha Negara Amerika Hillary Clinton yang kagum dengan kepesatan ekonomi negara dan kemakmuran rakyat di sini.

Katanya, Clinton menyatakan kekagumannya tentang kepimpinan Najib dan kepimpinan negara sebelum ini kerana berupaya mengekalkan kestabilan politik dan keharmonian hubungan antara kaum, meskipun terdiri daripada pelbagai kaum, keturunan serta agama.

Muhyiddin berkata Clinton, yang pertama kali melawat Malaysia, menyatakan kepadanya bahawa apa yang disebut Najib sebagai "global movement of the moderate" ketika berucap pada Pertubuhan Bangsa Bersatu, telah dapat disaksikan beliau sendiri ketika berada di Malaysia.

"Hillary Clinton tanya, jadi saya terangkanlah apa yang dimaksudkan (kesederhanaan). Inilah yang telah kita amalkan sejak berpuluh-puluh tahun lalu dan kita nak bawa contoh terbaik ini ke peringkat dunia," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata gagasan 1Malaysia yang sudah diakui ramai pemimpin antarabangsa untuk membawa negara terus kepada kemajuan lebih tinggi dan perlu mendapat sokongan padu seluruh lapisan masyarakat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

YB Baru Mahu Kotakan Janji

Artikel Berikut

Artikel Lain