suria

Muhyiddin Cadang 'Tempoh Bertenang' Pilihan Raya Diteliti Semula

SANDAKAN: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan supaya tempoh "bertenang", iaitu masa selepas tempoh kempen tamat dalam sesuatu pilihan raya, diteliti semula bagi mengelak kejadian tidak diingini pada hari pengundian.

Beliau berkata keadaan seperti penyokong parti yang datang beramai-ramai ke pusat pengundian sehingga melebihi jumlah pengundi sendiri boleh mencetuskan ketegangan seterusnya mengganggu proses pengundian.

"Terserah kepada pihak berkuasa sama ada polis atau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Mungkin dalam peraturan-peraturan SPR perlu diteliti balik apakah waktu bertenang itu perlu bertenang betul-betul dan kita tidak perlu keluar ke pusat-pusat mengundi.

"Kita semua yang tidak ada hak untuk mengundi hari itu (boleh) tengok televisyen sahaja. Tetapi kerana amalan (tempoh bertenang sekarang dengan penyokong datang beramai-ramai di pusat mengundi) sudah lama diamalkan, jadi susah nak dikuatkuasakan.

"Tetapi sampai satu peringkat, mungkin tempoh bertenang ini boleh dipanjangkan sedikit supaya orang sudah reda, orang yang datang bantu berkempen (juga) sudah balik dan tinggal pengundi sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan di sini, Khamis.

Beliau mengulas insiden kekasaran yang berlaku pada pada pilihan raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas di Kelantan, Khamis.

Menurut Muhyiddin, penyokong PAS, termasuk dari luar Kelantan khususnya Terengganu, dikatakan datang dalam jumlah besar ke pusat pengundian undi di Galas dan membuat provokasi termasuk masuk ke khemah Barisan Nasional (BN) dan enggan keluar apabila diminta berbuat demikian.

Beliau berkata proses pengundian dalam pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Batu Sapi yang juga berlangsung hari ini, adalah lebih aman dan berjalan dengan baik tanpa timbul kekecohan atau kekerasan.

Timbalan Perdana Menteri memuji kecekapan pihak polis dan SPR dan pihak berkuasa lain yang dapat mengawal keadaan sehingga pilihan raya di kedua-dua kawasan dapat dilaksanakan dengan baik.- BERNAMA

Artikel Sebelum

YB Baru Mahu Kotakan Janji

Artikel Berikut

Artikel Lain