suria

MKN Sudah Bersedia Hadapi Banjir Lebih Buruk Di Kedah

ALOR SETAR: Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudah bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir buruk yang sehingga kini melibatkan lima daerah di Kedah, yang dijangka merebak ke daerah-daerah lain tidak lama lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata berdasarkan keadaan sekarang, banjir di daerah Kubang Pasu, Padang Terap, Pokok Sena dan Kota Setar sudah mula memasuki daerah Pendang, dan ia dijangka berterusan ke daerah-daerah lain.

Katanya MKN sudah bersiap sedia dengan segala keperluan terutama logistik seperti lori, trak dan bot yang dipercayai mencukupi untuk keperluan jika banjir menjadi lebih buruk.

"Memang dah bersedia, dijangka banjir akan turut babitkan daerah-daerah lain. Bilangan petugas bantuan juga sudah ditingkatkan," katanya kepada wartawan selepas melawat mangsa banjir di daerah Kota Setar di sini Khamis.

"Ketika ini di Kedah jumlah anggota bantuan lebih 700 orang dari semua agensi berkaitan, keseluruhan ada 32 bot. Semalam Pendang dah mula naik air. Sehingga kini di Kedah dan Perlis sahaja sudah ada 41,984 orang mangsa banjir," tambahnya.

Mohamed Nazri berkata banjir di Kedah dan Perlis ketika ini adalah paling besar di kedua-dua negeri, menyebabkan segala bantuan perlu dilakukan dengan segera untuk mengelak masalah yang lebih besar.

"Bagaimanapun saya puas hati dengan apa yang dilakukan ketika ini. Walaupun memang dah lama bersedia, tapi bila banjir berlaku, hari pertama biasanya kelam kabut sikit. Selepas sehari, semuanya berjalan lancar," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

YB Baru Mahu Kotakan Janji

Artikel Berikut

Artikel Lain