suria

Faktor Ku Li Dan Penerimaan Rakyat Beri Kemenangan Besar Kepada BN Di Galas

GUA MUSANG: Ketokohan Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dan penerimaan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) sebagai pemangkin kepada perubahan di Kelantan menjadi antara faktor utama kemenangan parti itu dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Kekuatan BN di Galas dipengaruhi ketokohan dan jasa Tengku Razaleigh, yang merupakan anak raja pencetus kepada pembukaan serta pembangunan Gua Musang, sewaktu menjadi Menteri Kewangan, sehingga kawasan itu menjadi pintu masuk ke Kelantan daripada Kuala Lumpur dan negeri-negeri daripada Pantai Barat, melalui Cameron Highlands.

Tengku Razaleigh yang lebih mesra dengan panggilan "Ku Li", merupakan tokoh yang dihormati dan beliau merupakan Anggota Parlimen paling lama berkhidmat sebagai wakil rakyat iaitu selama 41 tahun mulai 1969.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya Chek Hashim Che Sulaima, 46, dari PAS, yang meninggal dunia akibat kanser usus pada 27 Sept lalu.

Kemenangan calon BN Abdul Aziz Yusoff dengan majoriti besar 1,190 undi mengalahkan calon PAS Dr Zulkefli Mohamad diumumkan Pegawai Pengurus pilihan raya kecil DUN Galas Wan Mustapha Wan Ab Hamid, malam tadi.

Ia sekaligus menjadikan kemenangan pertama BN dalam pilihan raya kecil di Kelantan selepas pilihan raya kecil DUN Manik Urai pada 14 Julai tahun lepas.

Dengan kemenangan itu, BN kini menguasai kesemua kerusi DUN bagi Parlimen Gua Musang, selain Nenggiri dan Paloh.

Malah kerusi BN kini bertambah menjadi tujuh kerusi di dalam DUN, Pas pula susut satu kerusi menjadi 37 kerusi dalam DUN dan satu kerusi lagi milik sekutu Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menurut pemerhati politik, boleh dikatakan corak kempen yang diatur Tengku Razaleigh dengan cara bersemuka bagi memenangi hati pengundi banyak menyumbang kepada kemenangan BN.

Malah Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri menyerahkan kepada kebijaksanaan Tengku Razaleigh sebagai Pilihan raya BN kawasan Galas untuk menentukan corak kempen itu.

Muhyiddin sedar Tengku Razaleigh lebih memahami sikap dan keperluan pengundi, logistik dan taburan penduduk sebelum merangka strategi itu.

Menurut pemerhati politik, dengan strategi baru berkempen secara berhemah bagi mendekati 11,553 pengundi di DUN Galas, ia diterima baik oleh penduduk Galas.

Ia berbeza sebelum ini apabila BN tidak lagi menumpukan kepada program besar-besaran dengan menjadikan pemimpin besar sebagai 'umpan' bagi memancing kehadiran penduduk.

Malahan di kawasan 1,889 pengundi Orang Asli, BN meletakkan jenteranya di rumah-rumah mereka untuk menetap di sana bagi memberikan penjelasan serta membantu Orang Asli termasuk di Pos Hendrop, Pos Blau, Kuala Betis dan Pos Brooke.

Faktor calon baru BN Abdul Aziz turut menyumbang kepada kemenangan itu kerana beliau lebih dekat dihati rakyat kerana pernah bertugas sebagai pengurus Pejabat Operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), sebuah agensi pusat yang bertanggungjawab memacu pembangunan Hulu Kelantan.

Berbanding calon Pas Dr Zulkefli, yang pernah tewas dua kali dalam pilihan raya umum 2004 dan 2008 dengan Tengku Razaleigh di kawasan Parlimen Gua Musang, ia menunjukkan rakyat telah mengenali siapa sebenarnya Dr Zulkefli.

Gerak kerja Umno Kelantan yang menumpukan perhatian terhadap empat kelompok pengundi warga emas yang menerima bantuan Jabatan kebajikan Masyarakat, wanita, pemuda dan golongan agama, juga banyak membantu.

Menurut pemerhati politik, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed melihat bahawa keempat-empat kelompok itu perlu didampingi kerana mereka juga merupakan penentu kepada kejayaan BN.

Menurut pemerhati politik, faktor lain seperti kerjasama berpasukan jentera pilihan raya dalam parti-parti komponen BN juga tidak boleh diketepikan.

Pilihan raya kecil kali ini menyaksikan Kerajaan Pas Kelantan juga turut dibelenggu dengan kelemahan pentadbirannya selama 20 tahun yang kian "membuka pekung di dada" dan antara isu yang timbul ialah isu untuk membangunkan lagi kawasan Gua Musang serta menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan belia.

Selain itu, pengundi turut menilai isu "Ladang Rakyat" yang dilihat gagal kerana menimbulkan kemarahan rakyat kerana tanah yang mereka usahakan selama 20 tahun dengan tanaman getah dan sawit diambil balik kerajaan negeri untuk diberikan kepada syarikat pemaju.

Malah masyarakat Orang Asli sendiri kecewa dengan kerajaan negeri yang selama ini banyak mengabaikan kebajikan mereka termasuk dalam soal tanah menyebabkan kawasan yang menjadi tempat memburu dan bertani kini diceroboh pihak luar.

Bagi BN, yang menjadi parti membawa perubahan kepada pembangunan dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat, usaha itu telah terbukti sejak 53 tahun negara merdeka dan kejayaan itu mendapat perhatian masyarakat pelbagai kaum di Galas dan jajahan lain di negeri itu yang terlalu lama dahagakan pembangunan sejak 20 tahun lalu di bawah kerajaan Pas Kelantan yang masih gagal melaksanakannya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

YB Baru Mahu Kotakan Janji

Artikel Berikut

Artikel Lain