suria

Beberapa Perjalanan Kereta Api Ke Utara Dan Thailand Dibatalkan

ALOR SETAR: Beberapa perjalanan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) ke utara dan Thailand terpaksa dibatalkan berikutan landasan di Tunjang, kira-kira 30km dari sini, ditenggelami air.

Pegawai Pemasaran KTMB Mohd Noordin Kimi ketika dihubungi Bernama berkata antara perjalanan yang dibatalkan ialah Ekspres Antarabangsa Bangkok-Butterworth dan Ekspres Antarabangsa Butterworth-Bangkok bernombor 35 dan 36.

"Bagi kereta api Senandung Langkawi yang menghubungkan Hatyai ke Kuala Lumpur turut dibatalkan manakala keretapi Senandung Langkawi Kuala Lumpur ke Hatyai ditamatkan perkhidmatan sehingga Stesen Alor Setar," katanya.

Beliau berkata perkhidmatan-perkhidmatan kereta api yang lain berjalan seperti biasa dan setiap perjalanan akan berakhir di Stesen Butterworth dan Stesen Alor Setar.

"Penumpang yang telah membeli tiket bagi perjalanan yang dibatalkan diminta menghubungi stesen berhampiran bagi mendapatkan maklumat dan mereka juga boleh menghubungi talian informasi KTMB iaitu 03-22671200 ataupun 1-300-88-5862.

"Kita akan sentiasa memantau keadaan landasan dari semasa ke semasa dan kita akan maklumkan semula jika landasan sudah boleh digunakan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

YB Baru Mahu Kotakan Janji

Artikel Berikut

Artikel Lain