suria

APMM Selatan Tahan Lapan Kapal Dalam Operasi Khas Di Pengerang

JOHOR BAHARU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan menahan lapan kapal yang melakukan pelbagai kesalahan sepanjang operasi khas di perairan Pengerang pada Selasa dan Rabu lepas.

Ketua Penguatkuasaannya Laksamana Pertama Maritim Zulkifli Abu Bakar berkata kelapan-lapan kapal yang sebahagian besarnya adalah kapal asing itu dikesan melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.

"Kapal-kapal yang ditahan oleh APMM ialah MT Orapin 2 yang berdaftar di Bangkok, MT Merlion Star yang berdaftar di Pelabuhan Klang, manakala TB Manyplus 9, MT Aceoil No 1, TB LCC V11 dan MT Aquarius pula berdaftar di Singapura," katanya di dalam kenyataan, Khamis.

Beliau berkata semua kapal itu dikesan gagal memaklumkan ketibaannya di perairan Malaysia, gagal menunjukkan resit bayaran Dius Rumah Api serta bersauh di kawasan larangan, dan menurutnya hasil siasatan mendapati kesemua kapal itu berlabuh di perairan negara sebelum memasuki pelabuhan Singapura.

Katanya dua kapal yang lain, MT Merlian Dua yang berdaftar di Basseterre dan MV Lu Rong Yu Shui yang berdaftar di Shandong, China pula ditahan kerana melakukan aktiviti "Ship-to-Ship" tanpa kebenaran.

Zulkifli berkata kedua-dua kapal itu yang ditahan di kedudukan 2.8 batu nautika selatan Tanjung Stapa itu boleh didakwa mengikut Seksyen 491B (1) (I) Akta Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.

Menurutnya kapal MT Merlion Dua yang mempunyai 12 anak kapal warga Myanmar menurutnya, dikesan membekalkan 50,000 liter minyak jenis Marine Gas Oil kepada kapal MV Lu Rong Yu Shui, yang mempunyai 18 anak kapal warga China.

Sementara itu Zulkifli berkata, daripada 2008 hingga tahun ini APMM Wilayah Selatan mengesan 98 kes pelbagai kesalahan melibatkan Akta Perkapalan Saudagar 1952, yang membabitkan kompaun serta denga RM230,000.

Di dalam tempoh yang sama katanya, APMM Wilayah Selatan turut mengesan lapan kes di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dengan jumlah kompaun dan denda mencecah RM423,000. - BERNAMA

Artikel Sebelum

YB Baru Mahu Kotakan Janji

Artikel Berikut

Artikel Lain