suria

Alimudin Usaha Tambah Dana Yayasan Guru Malaysia Berhad

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom yang akan bersara mulai esok berkata beliau akan menumpukan usaha untuk menambah dana Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) sebagai pengerusi YGMB sejak 2008.

Beliau berkata walaupun yayasan itu telah wujud sejak kira-kira 20 tahun dulu, tetapi dana yang diperuntukkan semakin berkurangan dan tidak dapat memberikan sumbangan yang banyak kepada guru-guru berdaftar.

"Saya sebenarnya tidak mempunyai perancangan yang rapi, biarlah saya berehat dulu sebulan dua. Tapi saya akan pastikan sekurang-kurangnya guru-guru akan mendapat habuan mereka termasuk untuk menambah peruntukan bagi khairat kematian atau kemalangan," katanya pada majlis perpisahan beliau di sini, Khamis.

Beliau yang telah berkhidmat selama 34 tahun dalam bidang pendidikan akan bersara wajib mulai esok pada usia 58 tahun.

Alimuddin juga mengucapkan berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran atas peruntukan RM10 juta yang diumumkan pada Perhimpunan Agung Umno lalu, dan beliau akan memastikan peruntukan itu dapat digunakan sepenuhnya untuk mereka yang berkenaan.

Beliau berkata sokongan semua pihak turut diminta dengan mendaftarkan warga-warga pendidik di seluruh negara dengan yayasan itu.

Selain itu, katanya beliau akan terus menyumbangkan tenaga untuk dunia pendidikan, melalui badan-badan bukan kerajaan (NGO) selepas persaraan ini.

"Selama 34 tahun ini saya dapat banyak daripada kerajaan dan Kementerian Pelajaran, sampai masanya sekarang saya memberi pula. Sekurang-kurangnya sekiranya tenaga saya diperlukan saya sedia memberi sumbangan," katanya.

Alimuddin yang sempat menyaksikan beberapa perubahan dasar pendidikan termasuk Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) berkata perubahan dalam sistem pendidikan adalah penting seiring dengan perubahan dunia.

"Dalam era globalisasi semua perlu berubah, dan sekiranya kita masih kekal akhirnya kita akan ditinggalkan," katanya.

Beliau bersyukur kerana sempat memegang jawatan tertinggi itu lebih tiga tahun dan berharap sokongan dan kerjasama yang baik yang diberikan kepada beliau sebelum ini dapat diteruskan kepada pengganti agar segala perancangan dalam mentransformasi sistem pendidikan dapat dilaksanakan.

Semua pegawai kementerian turut diminta menjaga kesihatan dalam memastikan usaha itu tercapai, katanya.- BERNAMA

Artikel Sebelum

YB Baru Mahu Kotakan Janji

Artikel Berikut

Artikel Lain