suria

AirAsia Diperintah Bayar Bil Telefon RM206.90 Kepada Seorang Guru

SIBU: Mahkamah Tribunal pada Khamis memerintahkan AirAsia membayar RM206.90 kepada seorang guru Mohd Ikram Mohd Rawi kerana gagal melaksanakan tanggungjawab korporatnya kepada penggunanya dalam memberikan perkhidmatan.

Presiden Mahkamah Tribunal itu Pretam Singh anak lelaki Darshan Singh memerintahkan pembayaran itu berikutan bil telefon guru itu yang dibuat untuk membuat pertanyaan mengenai tiket penerbangan yang ditempah melalui internat tetapi telah dibatalkan oleh AirAsia.

Dalam penghakiman Pretam Singh berkata AirAsia diperintah membayar jumlah itu kepada Mohd Ikram dalam masa 14 hari dari tarikh penghakiman dibuat, kegagalan boleh dikenakan mengikut kesalahan jenayah tertakluk kepada denda sebanyak RM5,000 dan dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

AirAsia tidak diwakili pada hari penghakiman itu.

Sementara itu, setakat Khamis sebanyak 4,642 kes telah dirujuk kepada tribunal itu di seluruh negara termasuk 242 kes di Sarawak, tambah beliau.

Daripada jumlah itu, 4,179 kes atau 90 peratus telah diselesaikan dan 463 masih menunggu untuk diselesaikan, ini termasuk 1,926 kes yang telah ditarikbalik dan 184 ditolak untuk didengar oleh mahkamah itu.

Daripada 242 kes di Sarawak, 210 telah diselesaikan sementara 32 masih menunggu untuk diselesaikan, kata Pretam Singh. - BERNAMA

Artikel Sebelum

YB Baru Mahu Kotakan Janji

Artikel Berikut

Artikel Lain