suria

N45 Galas: Program Kesihatan Untuk Orang Asli Gua Musang Selepas Pilihan Raya Kecil

GUA MUSANG: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) bagi meningkatkan kesedaran kepentingan penjagaan kesihatan pada kalangan masyarakat itu khususnya wanita dan kanak-kanak.

Menterinya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata pihaknya menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) akan digerakkan bersama JHEOA untuk menganjurkan beberapa program kesihatan selepas pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

"Kita akan datang sebagai satu komuniti dan tumpuan kita adalah kesihatan, terutamanya golongan wanita dan kanak-kanak. Untuk mendekati mereka kita akan bekerjasama dengan JHEOA.

"Dan berdasarkan pada program 'Salam Sayang' hari ini yang bertujuan mendekati orang Asli, kami dapati reaksi diterima mengenai kesihatan sangat baik," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Katanya, LPPKN akan menggunakan klinik bergeraknya untuk memberi kemudahan kepada masyarakat itu memeriksa kesihatan serta diberi tunjuk ajar mengurus kebersihan dengan baik.

Terdahulu semasa berucap, Shahrizat berkata beliau amat sedih melihat masalah kemiskinan Orang Asli serta penjagaan kesihatan yang masih mundur pada kalangan mereka, biarpun sudah 20 tahun PAS memerintah Kelantan.

Katanya, kerajaan PAS Kelantan bukan saja tidak berusaha meingkatkan taraf kehidupan masyarakat Orang Asli, malah perihal penjagaan kesihatan dan kebersihan pun tidak diambil peduli.

Dalam perkembangan lain, Shahrizat berkata JKM akan bertindak sebagai 'mata dan telinga' bagi pihak polis untuk mengesan mana-mana pihak yang cuba menjual bayi.

"Sebenarnya JKM dalam kes ini telah pun beri kerjasama awal selepas dapat 'tip off' ada sindiket jual bayi. Kita sudah bersama-sama dengan pasukan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar mengenai sindiket menjual bayi di sebuah hospital swasta di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur yang terbongkar selepas polis menahan enam suspek sebaik saja selesai urusan jual beli seorang bayi perempuan berusia seminggu berharga RM21,000 kepada sepasang suami isteri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain