suria

N45 Galas: PAS Bantah Cara Bawa Peti Undi

GUA MUSANG: PAS akan mengemukakan bantahan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung proses membawa peti undi yang belum dikira menggunakan helikopter dari kawasan Orang Asli ke pusat penjumlahan undi di Pusat Sivik.

Pengarah Pilihan Raya Pas Kelantan, Abdul Fatah Harun berkata pihaknya tidak bersetuju dengan kaedah yang diguna pakai oleh SPR yang didakwa boleh menimbulkan keraguan.

"Kita sudah melantik peguam untuk kemukakan bantahan ini kepada SPR, kami tidak yakin dengan kaedah yang digunakan," katanya di sini, Selasa.

Sebelum ini SPR mengumumkan bahawa suruhanjaya itu akan menggunakan helikopter bagi membawa empat peti undi Orang Asli iaitu melibatkan Pos Bihai, Balan, Sungai Ber dan Belatim ke pusat penjumlahan undi apabila proses pengundian di kawasan berkenaan ditutup pada pukul 1 tengah hari.

Pengiraan undi juga tidak akan dilakukan di peti undi berkenaan seperti di peti undi kawasan lain sebaliknya akan dilakukan di Pusat Sivik iaitu selepas proses pengundian keseluruhan ditutup pada pukul 5 petang.

Ditanya mengapa bantahan berkenaan akan dilakukan sehari sebelum berlangsungnya pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas Khamis ini, beliau berkata pihaknya baru sahaja menerima maklumat mengenai proses tersebut.

Sementara itu Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata proses membawa peti undi berkenaan tidak bertentangan dengan Peraturan-Peraturan Pilihanraya (Penjalanan Pilihanraya) 1981.

Menurutnya proses berkenaan adalah amalan biasa yang digunakan SPR pada mana-mana pilihan raya sebelum ini.

"Undang-undang membenarkan kita untuk membawa peti-peti undi berkenaan yang terletak jauh di pendalaman untuk dijumlahkan di satu kawasan yang diwartakan sebagai pusat penjumlahan undi berkelompok.

"Jumlah undi di kawasan berkenaan tidak ramai, jadi peti-peti undi yang ditutup dan dikawal oleh pegawai SPR serta anggota polis akan dibawa ke pusat penjumlahan undi untuk dijumlahkan di sana...kita memang tidak kira di pusat peti undi seperti peti undi kawasan lain," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Ditanya berhubung rungutan PAS bahawa parti itu tidak yakin dengan proses membawa pulang peti undi menggunakan helikopter kerana tiada ejen calon dibenarkan mengiringinya, Wan Ahmad berkata: " Sebuah helikopter itu hanya dibenarkan untuk membawa empat orang iaitu seorang ketua peti undi, dua orang kerani SPR dan seorang anggota polis bagi menjaga keselamatan.

"Proses ini juga adalah amalan biasa, jadi tidak ada sebab untuk mereka pertikaikan. Bagi saya mereka hanya mencari alasan. Mereka tak perlu ragui kerana SPR tak mempunyai kepentingan bagi mana-mana pihak."

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain